Liga Super: Lee Tuck bantu Kedah atasi Sabah 2-1
Bernama
Jun 2, 2023 00:24 MYT
Jun 2, 2023 00:24 MYT
KUALA LUMPUR: Dua jaringan Lee Tuck membantu Kedah Darul Aman (KDA FC) memanjat satu anak tangga ke tempat keempat Liga Super 2023 selepas menundukkan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.
Babak pertama menyaksikan Sabah mendominasi perlawanan apabila anak buah Ong Kim Swee itu mendahului seawal minit kelapan menerusi tandukan cantik Gabriel Schmegel Witter Peres yang menerima sepakan percuma Baddrol Bakhtiar.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah kemudian mengatur serangan demi serangan untuk mencipta peluang dan membuahkan hasil untuk menyamakan kedudukan apabila Lee Tuck menerima hantaran jauh Federico Hidalgo Gasparini membolosi gawang pihak lawan pada minit ke-40.
Bersambung babak kedua, skuad Sang Kenari dan Sang Badak kembali memperkemaskan permainan masing-masing untuk memburu jaringan.
Anak buah Nafuzi Zain kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-72, sekali lagi hasil sentuhan Lee Tuck yang meleret bola ke gawang lawan dalam situasi kelam kabut di kotak penalti selepas kegagalan Willian Lira Sousa yang cuba menanduk bola ke dalam gol.
Asakan demi asakan dilakukan kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan dan kedudukan kekal hingga wisel penamat dengan menyaksikan Kedah mengutip tiga mata di laman sendiri.
- BERNAMA