Liga Super: KL City ledak tiga gol benam PDRM

Astro Arena
April 27, 2023 06:15 MYT
Aksi Paolo Josue ketika membantu Romel Morales dengan jaringan pertama KL City dalam aksi Liga Super musim ini. - Foto Astro ARENA
KUALA Lumpur City FC menghasilkan tiga jaringan untuk memastikan tiga mata penuh dalam aksi Liga Super berdepan PDRM, malam tadi.
Bermain di laman sendiri semestinya memberi kelebihan buat The City Boys namun ancaman yang diberikan PDRM turut hampir menguji benteng akhir tuan rumah.
Bermula dengan percubaan pemain import dari Nigeria, James Okwuosa pada minit kesembilan, namun kredit perlu diberikan kepada Azri Ghani yang menyelamatkan keadaan.
KL City membalas serangan menerusi usaha Paolo Josue tapi tiada penyudahnya, namun Josue sekali lagi muncul selaku pemain yang merobek hati penyokong pasukan PDRM.
Ini apabila dia membantu Romel Morales dengan jaringan pertama KL City dalam aksi Liga Super dan kedua buatnya untuk musim ini.
Selesa di depan, berselang beberapa minit kemudian KL City seperti dihadiahkan dengan kealpaan pemain PDRM, Muhammad Alif Najmi, yang bawa padah buat anak buah Azzmi Aziz.
Ketinggalan tidak mematahkan semangat PDRM berusaha melakukan serangan menerusi rembatan Marcus Macauley, namun ia mudah dinafikan penjaga gol.
Sebaliknya, KL City yang menambah lagi jaringan melalui tandukan Tchetche Kipre di penghujung perlawanan.
PDRM terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila Okwuosa dan Hiancarlo Gallifuoco kedua-duanya dilayangkan kad merah ekoran bergaduh di atas padang.
Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Penang FC bangkit daripada ketinggalan untuk merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Kuching City.
Abu Kamara membuka jaringan buat pelawat pada minit ke-32 sebelum Khairul Akmal Rokisham menyamakan kedudukan pada minit ke-45 dan Hassan Ali Saad memastikan kemenangan Penang FC di laman sendiri. - Stadium Astro
#KL City FC #Liga Super #Romel Morales #PDRM
;