Liga Super: KL City benam NSFC 3-0

Bernama
Jun 21, 2024 23:55 MYT
Negeri Sembilan FC mengalami kekalahan kali ketiga berturut-turut selepas tewas 3-0 di tangan Kuala Lumpur City FC pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini. - Foto Facebook KL City FC
SEREMBAN: Negeri Sembilan FC mengalami kekalahan kali ketiga berturut-turut selepas tewas 3-0 di tangan Kuala Lumpur City FC pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu menghasilkan jaringan sebelum pasukan lawan berjaya meledak gol pertama menerusi tandukan kemas pemain kebangsaan Brendan Gan pada minit ke-27.
Skuad KL City bimbingan Miroslav Kuljanac dari Croatia tampil lebih agresif dan lebih menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan dan hantaran tepat ke pintu gol pasukan tuan rumah.
Lima minit sebelum berakhir separuh masa pertama, skuad Hobin Jang Hobin hampir menyamakan kedudukan hasil tandukan pemain pertahanan, Dzulfahmi Abdul Hadi depan pintu gol lawan menerusi hantaran kemas pemain import Jaque Faye.
Memasuki babak kedua perlawanan, skuad tuan rumah kehilangan Jacque Faye selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil S Logeswaran kerana mengasari Ryan Edward Lambert pada minit ke-53.
Pengadil perlawanan membuat keputusan itu menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) sekali gus menyukarkan Negeri Sembilan mengekalkan momentum perlawanan dengan 10 pemain.
Memanfaatkan peluang itu, skuad KL City terus memberi tekanan kepada tuan rumah dengan beberapa percubaan menarik di depan pintu gol namun dapat ditampan dengan baik penjaga gol, Muhamad Aqil Abdul Razak.
KL City meledakkan gol kedua menerusi rembatan kencang kaki kiri kapten Paulo Josue membolosi gawang tuan rumah sekali gus mengukuhkan kedudukan KL City mengutip tiga mata perlawanan pada minit ke-72.
Pasukan lawan kemudian berpeluang menambah jaringan menerusi tandukan pemain import Giancarlo Gallifuoco dari Australia namun terkena palang pada minit ke-85.
Kemudian pemain gantian S. Sharvin mengesahkan kemenangan pertama skuad KL City hasil tandukan kemasnya menerusi hantaran sepakan sudut Brendan pada minit ke-90.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Azzmi Ab Azizi kekal di tangga tercorot liga manakala KL City memperoleh tiga mata penuh pertama selepas tiga perlawanan untuk menghuni tangga ketujuh dengan empat mata.
-- BERNAMA
#Liga Super #KL City FC #Negeri Sembilan FC #bola sepak
;