Liga Super: KL City belasah skuad muda Kedah 5-0
Bernama
September 14, 2024 23:52 MYT
September 14, 2024 23:52 MYT
KUALA LUMPUR: Pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC membelasah skuad muda Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-0, dengan Paulo Josue muncul wira hatrik pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam ini.
KDA FC yang menurunkan masing-masing lima pemain bawah (B)-23 dan B-20 tahun dalam kesebelasan utama selepas pemain utama pasukan itu dilaporkan memboikot latihan kerana isu tunggakan gaji, ternyata bukan tandingan buat KL City.
Skuad 'The City Boys' membuka jaringan menerusi pemain import dari Bosnia dan Herzegovina, Jovan Motika pada minit ke-14.
Josue yang juga kapten pasukan menanduk masuk gol kedua pada minit ke-23 untuk menggandakan jaringan manakala pemain tengah Zhafri Yahya melengkapkan sepakan percuma tiga minit kemudian.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah meneruskan pesta gol apabila ledakan kaki kiri Josue ke kanan gawang gagal diselamatkan penjaga gol muda Muhammad Hafizy Mohd Hajazy pada minit ke-49.
Penyerang naturalisasi kelahiran Brazil itu kemudian melengkapkan hatriknya selepas menyempurnakan lorongan Motiva, juga menerusi sepakan kaki kiri pada minit ke-58 untuk menghiburkan 1,180 penonton yang hadir.
Sebelum ini, ketua jurulatih KDA FC Mohd Nafuzi Zain berkata beliau akan menurunkan barisan pemain muda kerana pemain daripada skuad utama tidak menghadiri sesi latihan sejak beberapa hari lepas dipercayai akibat isu tunggakan gaji selama beberapa bulan.
Sementara itu, Perak FC berjaya mencatatkan kemenangan ketiga musim ini selepas mengatasi Negeri Sembilan FC (NSFC) 1-0 menerusi jaringan penyerang import dari Brazil, Clayton Da Silveira Da Silva pada minit ke-47 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Perak hampir menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti oleh kapten Luciano Guaycochea namun berjaya ditampan penjaga gol Muhammad Aqil Abdul Razak pada minit ke-65.
Skuad Seladang diberikan penalti selepas Mohamad Izzuddin Mohd Roslan mengasari pemain pertahanan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-63.
Perak melonjak ke kedudukan kelapan dengan sembilan mata selepas lapan aksi, diikuti KL City dan KDA FC di kedudukan kesembilan dan ke-10, masing-masing dengan lapan mata tetapi dibezakan dengan perbezaan gol manakala NSFC berada di tangga ke-12 dengan empat mata.
-- BERNAMA