Liga Super: Kelantan United bergaya lakar kemenangan sulung 4-1
Sinar Harian
Jun 2, 2023 07:22 MYT
Jun 2, 2023 07:22 MYT
KOTA BHARU: Kelantan United melakar kemenangan sulung selepas mengharungi 13 perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini apabila menumpaskan Kelantan FC (TRW) 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun perlawanan antara kedua-dua pasukan terpaksa ditangguhkan akibat hujan dan petir pada minit ke-37 selama satu jam setengah.
Keputusan itu terpaksa dibuat oleh Pegawai Perlawanan, Teoh Hee Loon atas faktor keselamatan.
Turun dengan misi menamatkan kemarau kemenangan, Kelantan FC memperoleh peluang terbaik mencetak jaringan pada minit ketiga namun Mohamad Fazrul Amir Md Zaman sekadar melepaskan rembatan lemah yang terus ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Muhamad Ilham Amirullah Razli.
Tiga minit berselang, tuan rumah memperoleh peluang terbaik membuka tirai jaringan menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti oleh Devid Silva namun berjaya ditepis keluar penjaga gawang baharu Kelantan FC, Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi yang kali pertama diturunkan.
Aksi rancak antara kedua-dua pasukan selepas itu terbantut apabila hujan lebat membasahi padang Stadium Sultan Muhammad IV.
Minit 13 pelawat sekali lagi menguji kemampuan Muhamad Ilham Amirullah namun penjaga gawang itu lebih bersedia menyelamatkan tandukan Mario Arques.
Devid Silva akhirnya menghadiahkan jaringan pertama buat pasukannya selepas tenang menyudahkan bola lencongan Syazwan Zainol yang terkena tiang selepas ditepis Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi pada minit ke-21.
Empat minit kemudian, Kelantan FC terus dihukum pada minit ke-25 selepas rembatan Jose Porteria berjaya melepasi jangkauan Muhammad Irfan Haikal untuk gol kedua tuan rumah.
Menuju minit ke-37 perlawanan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu akibat hujan dan petir.
Perlawanan yang ditangguhkan selama satu jam setengah kembali disambung dengan pelawat dilihat lebih bernafsu mendapatkan jaringan penyamaan.
Gol penyamaan yang ditunggu pelawat akhirnya menjelma jua menerusi sepakan penalti oleh Ismaheel Akinade sebelum perlawanan separuh masa pertama tamat.
Bersambung babak kedua, TRW dilihat lebih banyak mendominasi permainan dengan melakukan asakan bertali arus ke kubu tuan rumah namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah.
Selepas itu, Kelantan United menambah derita TRW dengan jaringan ketiga perlawanan menerusi Porteria pada minit ke-61.
Syazwan terus menggandakan jaringan Kelantan United dengan gol keempat pada minit ke-66.
Keputusan 4-1 itu kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Kelantan FC merakamkan kekalahan ke-11 setakat ini sekali gus menduduki tangga tercorot Liga Super. - Sinar Harian