Liga Super: Kelantan United bangkit kecewakan Kuching City
Bernama
September 4, 2023 05:45 MYT
September 4, 2023 05:45 MYT
KOTA BHARU: Kelantan United FC berjaya bangkit untuk mencatatkan kemenangan kedua dalam saingan Liga Super musim ini apabila mengalahkan pasukan tercorot, Kuching City FC 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.
Perlawanan tertangguh selama sejam 30 minit susulan hujan lebat menyaksikan Kuching City mengejutkan tuan rumah menerusi tandukan penyerang import, Abu Kamara selepas memanfaatkan hantaran pemain pertahananan, Mohammad Dzulazlan Ibrahim pada minit ke-42.
Tersentak dengan jaringan pelawat, Kelantan United, yang meningkatkan tempo permainan, hanya mengambil masa tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan penyerang import dari Nigeria, Ismaheel Akinade,hasil hantaran ketua pasukan, Mohd Syazwan Zainon.
Selang tujuh minit kemudian, pemain import dari Filipina, Jose Porteria muncul wira 'Kijang Hijau' apabila menghadiahkan gol kemenangan selepas memanfaatkan tolakan Akinade di dalam kotak penalti.
Kejayaan diraih skuad Kelantan United, bimbingan Ailton Dos Santos Silva, menyaksikan mereka menamatkan kemarau tujuh perlawanan tanpa kemenangan untuk kekal di tangga ke-12 liga dengan 11 mata selepas 21 perlawanan.
Kuching City pula terperosok di tangga terbawah liga dengan tujuh mata selepas hanya menang sekali dalam 20 perlawanan setakat ini.
-- BERNAMA