Liga Super: Kedah dibaham JDT 6-0, Selangor benam Kelantan 3-0
Bernama
April 9, 2023 05:30 MYT
April 9, 2023 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Seperti yang dijangka giliiran Kedah Darul Aman FC dibaham Johor Darul Ta'zim (JDT) yang meneruskan momentum kemenangannya dengan berpesta gol 6-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, malam tadi.
Jaringan pembuka tirai oleh penyerang sensasi kelahiran Argentina, Fernando Martin Forestieri, pada minit ke-23 melengkapkan saingan babak pertama sebelum 'mengganas' dengan lima gol pada babak kedua.
Pemain pertahanan, Muhamad Feroz Baharudin, kemudian menggandakan jaringan pada minit ke-48, sebelum Oscar Pasero Arribas membolosi gawang pelawat, sekali gus mencetak gol ketiga, dua minit kemudian.
Sang Kenari terus berputih mata apabila pengadil Razlan Joffri Ali menghadiahkan sepakan penalti selepas pemain pertahanannya Mohd Akmal Md Zahir menjatuhkan Bergson Gustavo Silveira Da Silva, dan menyaksikan pemain Brazil itu mudah menjaringkan gol pada minit ke-52.
JDT terus ganas memburu jaringan apabila Arif Aiman Mohd Hanapi turut meledak gol kelima buat Harimau Selatan pada minit ke 76, sebelum Leandro Sebastian Velazquez menutup tirai jaringan pada minit 86 untuk kemenangan kelapan berturut-turut pada aksi Liga Super.
Perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pula menyaksikan Selangor sekali lagi memanfaatkan beraksi di laman sendiri selepas menewaskan Kelantan 3-0 untuk merampas kedudukan kedua daripada Kedah Darul Aman..
Selangor yang dilihat mendominasi permainan pada minit awal perlawanan berjaya membuka tirai jaringan pada mminit ke-28 menerusi penyerangnya Ayron Del Valle.
Babak kedua menyaksikan skuad tuan rumah terus melakukan serangan ganas ke atas pasukan kendalian Frank Bernhardt dalam usaha memburu sebelum pemain gantian Ayron, Rauf Salifu menyumbat tenang jaringan kedua Selangor selepas menerima hantaran lorongan cantik daripada Mukhairi Ajmal pada minit ke-80.
Sembilan minit kemudian Rauf, yang menerima hantaran Mohd Norhakim Hassan, sekali lagi menghadiahkan jaringan buat pasukan kendalian Tan Cheng Ho dan keputusan kekal 3-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Sementara itu, Terengganu FC (TFC) berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Kem tuan rumah mendominasi babak pertama dengan beberapa percubaan tepat seawal minit keempat, namun gol pertama berjaya diraih pada minit ke-22 menerusi Jordan Mintah yang menyempurnakan hantaran cantik Adidak Kraisorn.
Pada minit ke-52, Mintah sekali lagi menceriakan 4,000 penyokong tuan rumah apabila meledak gol kedua perlawanan dan gol keempat peribadi dalam saingan Liga Super musim ini.
Baki perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada jaringan dihasilkan hingga ke akhir perlawanan.
Dalam pada itu, perlawanan di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang menyaksikan Penang FC memanfaatkan aksi di laman sendiri selepas membenam PDRM FC 4-2.
Kedua pasukan bermula ghairah memburu jaringan namun skuad kendalian Azzmi Aziz berjaya memecah kebuntuan dengan meledak jaringan seawal minit ketiga menerusi Marcus Macaule.
Gol terbabit tidak mematahkan semangat skuad tuan rumah apabila James Okwusa dan Soony Saad meledak jaringan pada minit ke-11 dan 17 sebelum PDRM membalas tentangan dengan jaringan kedua mereka menerusi Azmi Muslim pada minit ke-28.
Bersambung babak kedua, pasukan jagaan Chong Yee Fatt meledak jaringan sekali lagi hasil penyudah Soony pada minit ke-53 sebelum Rahmat Makasuf melengkapkan jaringan pada minit ke-69.
-- BERNAMA