Liga Super: KDA tiada masalah atasi Kuching City
Sinar Harian
Mac 17, 2023 00:23 MYT
Mac 17, 2023 00:23 MYT
KEDAH Darul Aman (KDA) FC berjaya menjinakkan Kuching City FC 3-0 pada aksi kelima Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.
Sang Kenari yang turun dengan misi memburu tiga mata dengan sokongan lebih 7,662 penyokongnya menyusun beberapa serangan ke kubu lawan dan hampir berada di hadapan melalui tandukan Bojan Ciger, namun tepat ke dakapan penjaga gol Kuching City, Julian Garcia pada minit ke-11.
Asakan berterusan KDA FC akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan Akmal Zahir dari luar kotak penalti menuju ke penjuru gawang pelawat pada minit ke-28 untuk kedudukan 1-0.
Akmal sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring pada minit ke-49 apabila menanduk masuk hantaran sepakan sudut Lee Tuck untuk meletakkan KDA FC 2-0 di hadapan.
Pada separuh masa kedua, Kuching City kembali menyusun perlawanan bagi merapatkan kedudukan, namun KDA FC terus melebarkan jurang kepada 3-0 menerusi Manuel Hidalgo pada minit ke-57 selepas dia memperdayakan beberapa pemain pertahanan lawan.
Pada minit ke-86, Sang Kenari beraksi dengan 10 pemain selepas Wan Amirul Afiq dilayangkan kad kuning kedua kerana berlaku pertengkaran dengan penyerang lawan, Abu Kamara.
Kuching City berusaha memburu gol saguhati, namun keputusan 3-0 kekal sehingga ke wisel penamat.