Liga Super: KDA FC bermotivasi tinggi hadapi Selangor FC

Bernama
April 3, 2021 10:56 MYT
Pemain pertahanan Sri Pahang FC, Mohd Faisal Mohd Rosli (kanan) kelihatan mengasak pemain Kedah Darul Aman FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali pada Perlawanan Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 2 April, 2021. --fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berharap dapat meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan seterusnya untuk saingan Liga Super selepas berjaya membenam Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.
Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata kemenangan malam tadi yang juga ketiga berturut-turut dilihat membantu meningkatkan motivasi pemainnya bagi menghadapi lawan seterusnya iaitu Selangor FC, Selasa depan.
"Kami fokus perlawanan demi perlawanan, perlawanan ini (malam tadi) telah tamat dan sekarang kami perlu fokus bagaimana untuk menghadapi Selangor pula kerana Selangor adalah pasukan yang hebat.
"Kami akan menilai permainan mereka pada perlawanan sebelum ini dan pemain kami juga sangat bermotivasi untuk menghadapi Selangor," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan antara pasukannya dengan Sri Pahang di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.
Pada perlawanan itu KDA FC mengatasi Sri Pahang 3-1 sekali gus menyaksikan Skuad Lang Merah itu naik ke tangga kedua liga di belakang pendahulu Johor Darul Ta'zim.
Mengulas mengenai persembahan KDA FC pada perlawanan itu, Aidil Sharin berkata pemainnya mempamerkan permainan agak perlahan pada 15 minit pertama sebelum menemui rentak yang akhirnya berjaya membuahkan gol pembukaan pada minit ke-37.
"Selepas itu kami terus mempamerkan aksi yang baik, walaupun Sri Pahang berjaya menjaringkan gol penyamaan, tapi kami berjaya menguasai permainan dan menjaringkan dua gol lagi untuk menang perlawanan ini. Syabas saya ucapkan kepada pemain," katanya.
Sementara itu, jurulatih Sri Pahang Dollah Salleh melahirkan rasa kecewa dan tidak menyangka dengan keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepada pemainnya Herold Goulan pada minit ke-17 selepas menjatuhkan pemain lawan Kipre Tchetche.
Katanya, keputusan itu menyebabkan pasukannya terpaksa meneruskan perlawanan dalam keadaan tertekan terutama pada babak kedua yang menyaksikan KDA FC menyumbat dua gol.
"Matlamat kami pada perlawanan ini adalah untuk mendapatkan kemenangan atau sekurang-kurangnya seri, tetapi kedua-duanya tidak tercapai. Pada separuh masa pertama kami masih mampu bertahan, tapi separuh masa kedua pemain sudah keletihan," katanya.
Keputusan malam tadi menyaksikan Sri Pahang kekal di tangga kedua tercorot Liga Super dengan hanya mengumpul empat mata selepas enam perlawanan.
-- BERNAMA
#KDA FC #Liga Super #Selangor FC #Sri Pahang FC #Aidil Sharin Sahak #Dollah Salleh
;