Liga Super: JDT1 tundukkan Selangor 4-1

Astro Awani
Februari 16, 2014 11:39 MYT
Pemain Johor Darul Takzim Norshahrul Idlan Talaha mengasak pemain Selangor Gurusamy Govandar pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin. --Foto BERNAMA
Johor Darul Takzim 1 melakar kemenangan besar pada perlawanan ke-5 Liga Super selepas membelasah Selangor dengan jaringan 4-1 di Stadium Larkin, Johor Baharu.
JDT ternyata berada di kelas tersendiri apabila himpunan pemain bintang yang dimiliki Harimau Selatan itu mempersembahkan permainan bermutu tinggi hingga terlalu sukar buat Selangor mengatasi kehebatan pasukan dari selatan tanah air itu.
JDT tidak menunggu lama untuk menewaskan penjaga gol Selangor Farizal Marlias apabila kapten JDT, Baihaiki Kaizan menjaringkan gol pada minit ke-12 hasil hantaran daripada Shakir Shaari.
Hariss Harun menambah jaringan JDT apabila menanduk tendangan sudut Mahali Jasuli pada minit ke-33.
Babak kedua bersambung, tuan rumah hanya memerlukan 6 minit untuk meledak jaringan ke-3 hasil daripada tandukan Luciano Figueroa berpunca daripada hantaran Amri Yahyah.
JDT terus bernafsu menambah jaringan apabila tendangan percuma Amri Yahyah ditanduk Baihaiki sebelum disudahkan Fadhli Shas pada minit ke-52.
Selangor beroleh gol sagu hati apabila Paulo Rangel menjaringkan gol menerusi tendangan penalti selepas dia dijatuhkan Baihaiki Khaizan dalam kotak penalty pada minit ke-68.
Jurulatih JDT1 Cesar Ferrando Jimenez berkata permainan yang seimbang adalah amat penting dan tahap permainan pasukan perlu tinggi.
#Baihaiki Kaizan #Farizal Marlias #Harimau Selatan #Hariss Harun #JDT1 #Liga Super #Mahali Jasuli #Selangor #Shakir Shaari
;