Liga Super: JDT teruskan momentum kemenangan, tewaskan Sabah 3-1

Bernama
Julai 13, 2024 15:54 MYT
Penyerang Johor Darul Ta'zim Romel Oswaldo Morales mengawal bola dengan baik melepasi pertahanan Sabah FC Daniel Ting dalam saingan Liga Super di Stadium Likas hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim FC (JDT) meneruskan rentak kemenangan dalam aksi Liga Super musim ini apabila menewaskan Sabah FC 3-1 dalam saingan di Stadium Likas malam ini.
Kemenangan kelima Harimau Selatan itu dimulakan dengan jaringan Romel Morales yang menanduk masuk sepakan sudut daripada Arif Aiman Hanapi pada minit ke 21.
Morales memberikan gol kedua buat JDT ketika minit kecederaan separuh masa pertama apabila penyerang kebangsaan itu menyudahkan hantaran jauh Francisco Geraldes.
Babak kedua menyaksikan pasukan tuan rumah Sabah merapatkan kedudukan pada minit ke-52 menerusi sepakan penalti diberikan pengadil Razlan Joffri Ali apabila Matthew Davies menjatuhkan Park Taesu dalam kotak penalti, sebelum disudahkan dengan tenang oleh Gabriel Peres.
Menghampiri minit terakhir perlawanan, Rawilson Batuil bertindak menjatuhkan Arif Aiman dan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) menyaksikan Razlan memberikan sepakan penalti yang disempurnakan Bergson bagi memberikan gol ketiga buat JDT.
Kemenangan itu menyaksikan JDT kekal di tangga teratas carta Liga Super dengan 15 mata, manakalaSabah di tangga keempat dengan tujuh mata.
Sementara itu, Penang FC meraih kemenangan pertamanya musim ini selepas menewaskan Perak FC 2-0 di Stadium Perak.
Minit ke-45 menyaksikan sepakan percuma yang diambil pemain import Joao Ferreira De Olivera menerjah gawang gol untuk jaringan pertama sebelum menggandakan kedudukan pada penghujung permainan menerusi pemain gantian Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar.
Di Pahang, tuan rumah Sri Pahang FC tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, petang tadi.
NSFC memperoleh jaringan pertama pada minit ke-24 menerusi tandukan Barathkumar Ramaloo yang menyambut sepakan percuma Takumi Sasaki, sebelum menggandakan kedudukan apabila Takumi Sasaki meledak jaringan kedua pada minit kecederaan.
-- BERNAMA
#JDT #kemenangan #Sabah FC #Johor #Liga Super