Liga Super: JDT menjarakkan mata, tewaskan Sabah FC

Bernama
Ogos 8, 2021 00:39 MYT
JDT kian menghampiri kejuaraan Liga Super selepas menewaskan Sabah FC 2-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskanda Puteri malam ini. - Foto FB/Johor Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) kian menghampiri kejuaraan Liga Super selepas menewaskan Sabah FC 2-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.
Dua jaringan Bergson Da Silva cukup meletakkan JDT mengukuhkan lagi cengkamannya dengan 45 mata kekal di atas Terengganu FC di tangga kedua carta liga yang mengumpul 37 mata.
Skuad kendalian Benjamin Mora bermula garang dengan meledak gawang lawan menerusi hantaran Muhammad Safawi Rasid yang disudahi dengan sepakan Bergson Da Silva seawal minit ke-18.
Bergson membuat kejutan selepas sekali lagi menjaringkan gol dua minit kemudian dengan menyempurnakan hantaran jauh Leandro Velazquez sekali gus meletakkan pemain import itu sebagai pendahulu penjaring terbanyak Liga Super dengan 19 jaringan.
Sementara itu dalam aksi Liga Premier, PDRM FC menang 2-1 ke atas Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini.
Biarpun turun tanpa kelibat penjaring gol terbanyak Liga Premier Jordan Mintah, skuad TFC II terdahulu menyumbat gol seawal minit ke-11 menerusi jaringan Muhammad Syafiq Ismail bagi meletakkan pasukan itu di depan.
Bersambung babak kedua giliran skuad The Cops menyamakan kedudukan menerusi jaringan minit ke-49 oleh Nabil Ahmad Latpi.
PDRM FC kemudian menafikan penguasaan TFC II selepas Bruno Suzuki menjaringkan gol pada minit ke-79.
Keputusan itu menyaksikan TFC II kekal berada di tangga kedua Liga Premier mengumpul 28 mata dipisahkan satu mata dengan Negeri Sembilan FC sebagai pasukan pendahulu dengan 29 mata.
-- BERNAMA
#JDT #Sabah FC #Liga Super #Johor #Safawi Rasid #Stadium Sultan Ibrahim #Bergson Da Silva
;