Liga Super: Jaringan debut Heberty cetus kemenangan 2-0 JDT menentang Selangor FC

Bernama
Julai 29, 2023 00:52 MYT
Heberty Fernandes berjaya membuat debut impian di Liga Super 2023 apabila menjaringkan gol pembukaan dalam membantu menewaskan Selangor FC 2-0. - Foto FC Johor Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Penyerang import terbaharu, Johor Darul Ta'zim (JDT), Heberty Fernandes berjaya membuat debut impian di Liga Super 2023 apabila menjaringkan gol pembukaan dalam membantu menewaskan Selangor FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam ini.
Selangor, yang turun tanpa Mohamad Faisal Halim, yang digantung selama sebulan, hampir menjadi pasukan pertama untuk mencuri mata daripada skuad Harimau Selatan selepas berjaya mematahkan serangan bertali-arus juara bertahan itu sejak wisel permulaan.
Namun, pemain berusia 34 tahun dari Brazil, yang hadir dari Bangkok United FC, memastikan JDT mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan apabila cubaan Muhammad Safuwan Baharudin mengeluarkan hantaran Oscar Arribas, terkena kaki Heberty dan masuk ke dalam gawang pada minit ke-79.
JDT, juara Liga Super buat sembilan kali berturut-turut itu, kemudian menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti Bergson Da Silva, yang tenang menyudahkan sepakan penalti, pada masa kecederaan (90+3) selepas dikasari oleh Harith Haiqal Adam Afkar dalam kotak penalti.
Kali terakhir Selangor menewaskan JDT adalah pada Ogos 2017 dengan kemenangan tipis 2-1, namun tewas sebanyak 12 kali dan seri tiga kali dalam kesemua pertandingan Liga-Malaysia (termasuk Piala FA, Piala Malaysia) sejak itu.
Kemenangan itu membantu skuad kendalian Esteban Solari melebarkan jurang di persada Liga Super kepada 14 mata, apabila berjaya mengumpul 54 mata daripada 18 kemenangan berturut-turut setakat ini, diikuti Selangor (40 mata) dengan 19 aksi, Kedah Darul Aman (KDA) FC (37 mata) dan Sri Pahang FC (34 mata).
Sementara itu, di Stadium Negeri, Kuching, jaringan tunggal penyerang import berbisa, Ifedayo Omosuyi hasil daripada sepakan penjuru Manuel Hidalgo pada minit ke-39, memastikan KDA mencatatkan kemenangan tipis 1-0 menentang Kuching City FC.
Terdahulu pada aksi sebelah petang di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, , Kuala Lumpur (KL) City FC bangkit daripada ketinggalan untuk membelasah pasukan di kedudukan tercorot, Kelantan FC, 5-1.
Pasukan pelawat bermula garang dengan jaringan seawal minit ketiga menerusi sepakan percuma pemain import dari Argentina, Leonardo Rolon sebelum Zhafri Yahya menyamakan kedudukan pada minit ke-26.
Penyerang import dari Colombia, Romel Morales muncul wira buat KL City apabila berjaya meledak hatrik menerusi jaringan pada minit ke-47, 65 dan masa kecederaan (90+1) untuk meranapkan impian Kelantan untuk menamatkan badi tanpa kemenangan dalam 14 aksi.
Penyerang tempatan, J. Partiban turut menjaringkan gol pada minit ke-84 buat skuad 'The City Boys' yang turun beraksi buat kali pertama selepas ketua jurulatihnya, Bojan Hodak berpindah ke pasukan Liga 1 Indonesia, Persib Bandung.
-- BERNAMA
#Heberty Fernandes #JDT #jaringan debut #Selangor FC
;