Liga Super: Hodak jangka jentera serangan Kuala Lumpur City menyengat
Astro Arena
Mac 10, 2023 00:06 MYT
Mac 10, 2023 00:06 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, menagih anak buahnya supaya menamatkan kemarau kemenangan musim ini ketika bertandang ke Paroi, malam esok.
Hodak menjangkakan satu tugas sukar menanti anak buahnya menjelang aksi keempat Liga Super menentang Negeri Sembilan di Stadium Tunku Abdul Rahman itu.
Kelab Lembah Klang itu perlu mengelak daripada memberikan ruang buat lawan di samping tidak melakukan kesilapan mudah yang pastinya akan dihukum barisan serangan skuad Jang yang diterajui Casagrande.
"Negeri Sembilan memiliki Casagrandre yang memiliki kemampuan di udara, begitu Herold Goulon dan Safuwan Baharuddin selain pemain berpengalaman seperti Mahali Jasuli dan Zaquan Abd Radzak.
"Jadi kalau mereka dapat sebarang ruang, mereka akan ambil kesempatan.
"Kami perlu berwaspada dan disiplin sepanjang 90 minit," katanya.
Pengendali kelahiran Croatia itu turut percaya sentuhan penyudah duo penyerang The City Boys, Herlison Caion dan Tchetche Kipre, akan muncul tepat pada masanya.
Untuk rekod, selepas tiga perlawanan liga, skuad warga kota itu belum mencatatkan sebarang kemenangan dan hanya meraih dua keputusan seri selain tewas sekali.
"Kipre bukan seperti pemain 10 tahun lalu jadi saya perlu berikan minit permainan, malah dia juga tidak sihat minggu lalu.
"Sebab itulah dia beraksi kurang bagus di Terengganu minggu lalu.
"Caion pula makin serasi dan sebaik mereka menemui sentuhan jaringan, mereka menjadi sukar dikekang.
"Begitulah penyerang, mereka perlu diberikan masa," katanya lagi.