Liga Super: Hatrik Ifedayo pacu kemenangan Selangor ke atas Kedah di Alor Setar
Astro Arena
Ogos 13, 2021 04:45 MYT
Ogos 13, 2021 04:45 MYT
KEDAH 2 SELANGOR 4
Ifedayo Olusegun menjaringkan hatrik bagi memastikan kemenangan 4-2 Selangor FC ke atas Kedah Darul Aman FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi.
Dalam keadaan hujan di Alor Setar, tuan rumah terlebih dahulu berada di depan apabila penyerang import, Kpah Sherman, melepaskan rembatan dari luar kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol muda Selangor, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, pada minit ke-24.
Bagaimanapun, tuah tidak lama memihak Kedah apabila Renan Alves didapati menahan percubaan Ifedayo menggunakan lengannya, sekali gus dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nazmi Nasaruddin.
Kesempatan itu dimanfaatkan Ifedayo untuk menyudahkan sepakan penalti bagi menewaskan Shahril Sa'ari pada minit ke-28.
Dua minit berselang, giliran penyerang muda, Danial Asri memahat nama selaku penjaring Selangor selepas bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menyumbat masuk lintangan Hein Htet Aung.
Kedah, dalam pada itu, sempat menyamakan kedudukan menjelang waktu rehat apabila kegagalan Sikh Izhan Nazrel mengeluarkan bola daripada sepakan penjuru Rabih Ataya berakhir dengan tandukan K. Anumanthan yang membocori gawangnya.
Ifedayo jelas memegang watak wira pasukan Gergasi Merah itu dalam babak kedua apabila menyumbat dua lagi gol, masing-masing pada minit ke-75 dan 92 untuk berpeluang cerah mempertahankan Anugerah Kasut Emas yang dimenanginya musim lalu.
Kemenangan itu juga menyaksikan Selangor memintas Kedah untuk menduduki keempat Liga Super dengan 29 mata, tiga mata mengatasi Lang Merah biarpun seteru itu memiliki kelebihan empat perlawanan dalam tangan.
*Kredit foto: Selangor FC
#Liga Super
#Ifedayo Olusegun
#Kedah Darul Aman FC
#Kpah Sherman
#Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman
#Renan Alves
#Danial Asri
#Selangor