KUALA LUMPUR: Jaringan hatrik penyerang import Johor Darul Ta'zim (JDT) Heberty Fernandes memastikan Harimau Selatan mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super selepas menewaskan Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor malam ini.

Pemain dari Brazil itu tidak menunggu lama untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila meledak gol pembukaan JDT menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit kelima.

Heberty terus mempamerkan sentuhan pemusnah apabila menjaringkan gol peribadi kedua pada minit ke-67 untuk meletakkan skuad kendalian Hector Bidoglio selesa mendahului ketika Sri Pahang cuba memburu gol penyamaan.

Pemain berusia 35 tahun itu mencipta memori tersendiri dalam kejayaan JDT merakam kemenangan keempat berturut-turut musim ini selepas melengkapkan jaringan hatriknya pada minit ke-88.

JDT yang mengintai kejuaraan Liga Super kali ke-11 berturut-turut, kini mendahului saingan dengan perbezaan empat mata di depan pencabar terdekat Terengganu FC yang mengumpul lapan mata.

Di KUCHING, pasukan tuan rumah Kuching City FC menafikan hasrat Terengganu membawa pulang tiga mata selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada pertembungan di Stadium Negeri Sarawak.

Selepas tiada sebarang gol terhasil pada separuh masa pertama, skuad Penyu akhirnya memecah kebuntuan selepas enam minit babak kedua bersambung menerusi penalti yang disempurnakan pemain sayap Muhammad Safawi Rasid.

Namun, kelebihan itu tidak bertahan apabila Kuching City menyamakan kedudukan menerusi pemain import Yuki Tanigawa pada minit ke-80 sekali gus menyekat rentak Terengganu dalam mengejar JDT.

Sementara itu, di PULAU PINANG, penyerang gantian dari Ghana Ebenezer Assifuah menjadi wira Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas menjaringkan gol kemenangan pasukan pada minit ke-78 untuk menewaskan Penang FC 1-0 di Stadium Bandaraya.

Kekalahan pertama dialami Penang itu menyaksikan mereka jatuh ke posisi ketiga tercorot dengan tiga mata, selain penantian meraih kemenangan sulung berterusan.

-- BERNAMA