Liga Super: Harimau Selatan kenduri gol, terkam Bujang Senang
Bernama
Mac 9, 2022 23:15 MYT
Mac 9, 2022 23:15 MYT
KUALA LUMPUR: Dua 'awang import', Bergson Da Silva dan Fernando Martin Forestieri masing-masing menyumbat dua gol bagi membantu juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan permulaan sempurna bagi musim 2022 selepas membelasah Sarawak United, 6-0, malam ini.
Aksi kedua liga berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menyaksikan JDT bermula cemerlang apabila bola tolakan pemain tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor menemui penyerang Argentina, Forestieri yang tenang melepaskan sepakan leret dari sebelah kiri padang untuk meletakkan pasukan 'Harimau Selatan' itu di depan 1-0 pada minit ke-15.
Bergson kemudian menambah jaringan untuk skuad kendalian Benjamin Mora apabila sepakan volinya menerjah masuk gawang 'Bujang Senang', berpunca daripada hantaran cantik pemain sayap sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-39, sekali gus memberikan mereka kelebihan dua gol tanpa balas menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, JDT yang memanfaatkan kesempatan dengan kelebihan seorang pemain di atas padang selepas pemain pertahanan, Raja Imran Shah Raja Amin diperintah keluar padang selepas mengasari pemain gantian, Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-60, terus berpesta gol apabila Bergson meledak gol kedua menerusi sepakan dari jarak dekat pada minit ke-62.
Sembilan minit kemudian, pintu gol Sarawak terus bocor menerusi tandukan pertahanan import, Carli De Murga hasil sepakan sudut Arif Aiman diikuti jaringan Muhammad Safawi yang menolak masuk gol kelima JDT pada minit ke-80 sebelum Forestieri menutup malam indah buat pasukannya selepas meledak gol kedua peribadi pada minit-84, sekali gus memastikan pasukannya gah di persada liga dengan enam mata.
Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, naib juara Liga Super 2021, Kedah Darul Aman FC tidak mensia-siakan bermain di hadapan penyokong sendiri apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan juara bertahan Piala Malaysia, Kuala Lumpur (KL) City FC, 3-2.
Sepakan kencang di dalam kotak penalty oleh pemain tengah KL City, Zhafri Yahya pada minit ke-28 mengejutkan tuan rumah untuk meletakkan skuad warga kota di depan 1-0 namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila tandukan tonggak serangan, Muhammad Syafiq Ahmad berjaya menyamakan kedudukan buat Kedah, empat minit kemudian.
Pemain gantian, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin, bijak melepasi perangkap offside sebelum merembat masuk jaringan kedua pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak pada minit ke-67 manakala penyerang import Dennis Buschening menghukum kealpaan barisan pertahanan pelawat menerusi jaringan ketiga 'Lang Merah' pada minit ke-69.
Kevin Brandon Xavier Koudemba cuba memberi sinar kebangkitan buat KL City namun jaringannya pada minit ke-87 sudah terlambat bagi pasukannya untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata dari Kedah dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Sementara itu, Sabah FC kendalian Datuk Ong Kim Swee merakam kemenangan sulung liga musim ini selepas menewaskan Petaling Jaya City FC, 3-1, dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Sabah membuka tirai jaringan menerusi tandukan pertahanan Brazil, Jackson De Souza pada minit ke-15 dan satu lagi tandukan, kali ini oleh Neto Pessoa melebarkan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-35.
Jaringan pemain sayap S. Kumaahran membantu PJ City merapatkan jurang pada minit pertama masa kecederaan di babak pertama namun pemain Indonesia, Saddil Ramdani meledak gol ketiga 'Sang Badak', tiga minit selepas separuh masa kedua bermula, untuk mereka mengutip tiga mata penuh malam ini.
-- BERNAMA
#JDT
#Johor
#kenduri gol
#Sarawak United
#Liga Super
#Harimau Selatan
#Bujang Senang
#Bergson Da Silva
#Fernando Martin Forestieri