Liga Super Eropah: Kami mahu selamatkan bola sepak, kata Florentino Perez

Astro Arena
April 20, 2021 13:15 MYT
Kain rentang dipasang di luar Stadium Liverpool membantah pembentukan ESL, di Liverpool, England, 19 April, 2021. (Foto AP)
FLORENTINO Perez menegaskan tujuan utama Liga Super Eropah (ESL) ditubuhkan adalah demi menyelamatkan bola sepak selepas idea pembentukan kejohanan itu menerima kritikan tanpa henti sejak diumumkan.
Liga Super mencetuskan spekulasi hangat apabila melancarkan laman sesawangnya Ahad lalu dengan Perez dipilih sebagai ketua pertandingan baru.
Madrid termasuk gergasi LaLiga, Barcelona dan Atletico Madrid dan enam kelab utama Liga Perdana Inggeris (EPL) -- Manchester United, Liverpool, Chelsea, Manchester City, Tottenham dan Arsenal -- serta Juventus, Milan dan Inter telah bersepakat untuk menjadi anggota asas yang akan memanfaatkan keuntungan jangkaan awal sebanyak €3.5 bilion (RM17.3b).
Begitupun, Perez menjelaskan kepada El Chiringuito TV bahawa dia bercita-cita lebih tinggi mengenai aksi di atas padang berbanding sifat tamak.
"Kelab-kelab terbesar di England, Itali dan Sepanyol telah menemui jalan keluar untuk situasi yang sangat sukar dalam bola sepak ini," katanya.
"Dalam tempoh dua musim ini Real Madrid telah kerugian €400 juta (RM1.9b) dan itu Real Madrid sahaja.
"Apabila anda hanya menjana pendapatan daripada televisyen, anda akan memahami jalan keluarnya adalah dengan menjadikan sesuatu kejohanan itu lebih kompetitif dan menarik yang boleh disaksikan dilihat di seluruh dunia.
"Kami memutuskan iaitu pada pertengahan minggu, bukannya ketika Liga Juara-Juara (UCL) berlangsung untuk mengadakan lebih banyak perlawanan Liga Super.
"Bola sepak harus berkembang. Minat terhadapnya semakin pudar. Kita harus memikirkan mengapa kanak-kanak berusia 16-24 tahun mula hilang minat. Ada perlawanan berkualiti buruk yang disajikan selain pelantar hiburan yang lain.
"Kami harus menjadikannya lebih menarik. Ini bukan sesuatu untuk orang kaya. Kami melakukan ini demi menyelamatkan bola sepak."

Official Announcement: Leading European football clubs unveil new Super League.#RealMadrid

— Real Madrid C.F. (@realmadriden) April 18, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Perez menepiskan kritikan bahawa liga itu dianjurkan secara tertutup apabila hanya membenarkan lima pasukan layak secara merit untuk melengkapkan 20 pasukan di samping 15 kelab pengasas.
Dia juga tidak gusar seandainya Madrid, Chelsea dan Manchester City disingkirkan dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim ini, atau Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mahupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melarang pemain Liga Super daripada mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa.
"Setiap pemain perlu bertenang kerana itu tidak akan berlaku," katanya.
"Real Madrid tidak akan diusir daripada UCL. Begitu juga City dan yang lain-lain.
"Ia tidak akan berlaku. Saya tidak mahu menggunakan alasan undang-undang tetapi ia tidak akan berlaku. Secara sahnya ia tidak mungkin."
Walaupun terdapat permusuhan bersejarah di antara Madrid dan Barcelona, ​​Perez mengatakan mudah untuk meyakinkan presiden Camp Nou yang baru dipilih, Joan Laporta, untuk mengambil bahagian dalam projek ini.
Dia menambah: "Perlawanan membabitkan kelab besar adalah yang paling menarik, mereka menghasilkan banyak wang. Saya tidak fikir yang perlawanan lebih kecil akan menjadi lebih menarik.
"Ada kejohanan kebangsaan yang bahkan tidak diketahui namanya. Jadi bola sepak tidak dapat dikembangkan lagi"
#Florentino Perez #Liga Super Eropah #esl #kritikan #ketua pertandingan #kejohanan baru #bercita-cita tinggi #FIFA #EPL #Liga Perdana Inggeris #bola sepak #Manchester United #Liverpool #Chelsea #barcelona #Real Madrid #Arsenal #Manchester City #England
;