Liga Super: Cheng Hoe gusar Selangor tiada aksi kompetitif hampir dua bulan

Astro Arena
Oktober 26, 2023 06:30 MYT
Gergasi Merah itu akan berehat hampir dua bulan dan ia merupakan tempoh rehat paling panjang buat Cheng Hoe. - Foto fail/Sinar Harian
KETUA jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, akui gusar memikirkan keperluan pasukannya untuk mendapatkan perlawanan kompetitif kerana mereka hanya akan kembali beraksi dalam saingan Liga Super pada 25 November ini.
Ia menyaksikan pasukan Gergasi Merah itu akan berehat hampir dua bulan dan ia merupakan tempoh rehat paling panjang buat Cheng Hoe sepanjang bergelar jurulatih.
Sebagi rekod, kali terakhir Selangor beraksi dalam perlawanan kompetitif adalah ketika menewaskan Terengganu FC 4-0 dalam perlawnan Liga Super di tempat lawan pada 29 September lalu.
"Untuk tempoh tanpa aksi yang agak lama, lebih kurang dua bulan tanpa aksi kompetitif, memang sedikit sebanyak boleh menjejaskan suasana pasukan tetapi mereka sebagai pemain dan kami sebagai jurulatih, perlu menjalankan tugas dengan sebaik mungkin," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Kerana yang penting adalah sasaran kami untuk berada di tangga kedua liga dan perlu bekerja keras untuk memastikan pasukan sentiasa dalam keamatan dan tempo yang baik apabila menentang mana-mana pasukan nanti."
Selangor seterusnya akan berdepan Perak dalam saingan Liga Super pada 25 November ini.
#Liga Super #Selangor FC #rehat panjang #Tan Cheng Hoe
;