Liga Super: Ayron del Valle aset berharga Selangor, bukan 'scammer', kata Cheng Hoe
Astro Arena
Mei 21, 2023 07:20 MYT
Mei 21, 2023 07:20 MYT
KETUA jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, menegaskan bahawa Ayron del Valle merupakan aset penting skuad The Red Giants itu dan bukannya 'scammer' seperti yang didakwa pengkritik.
Ini selepas penyerang kelahiran Colombia itu sekali lagi membuktikan ketajamannya di depan gawang apabila menjaringkan gol berganda ketika membantu Selangor menewaskan Perak FC 4-0 di Ipoh semalam.
"Dia adalah salah satu daripada aset yang kami ada, jadi kami bukan sekadar berharap dia boleh menjaringkan gol tetapi sumbangannya di bahagian serangan juga cukup penting," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kerana dalam bola sepak, kami tidak boleh bergantung 100 peratus kepada Ayron.
"Tetapi kami yakin dengan persefahaman dan kombinasi beberapa pemain utama dalam pasukan ini, ia boleh menghasilkan keputusan yang baik.
"Sudah pasti adakalanya media mempersoalkan kebolehan dan keyakinan yang dimilikinya (Ayron) tetapi kami sebagai barisan kejurulatihan yakin dengan apa yang telah ditunjukkannya dalam latihan dan perlawanan," katanya.
Gol berganda Ayron dalam babak berbeza serta masing-masing satu gol daripada Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal Mahadi meletakkan skuad Gergasi Merah itu kembali ke tangga kedua Liga Super dengan kelebihan perbezaan jaringan mengatasi pencabar terdekat, Sri Pahang FC.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor kini mengumpulkan 25 mata selepas 11 perlawanan, kurang lapan mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT).