Liga Premier: Kelantan himpit rapat JDT II
Sinar Harian
Mei 8, 2022 07:00 MYT
Mei 8, 2022 07:00 MYT
KELANTAN FC terus memberi tekanan kepada pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) II selepas menewaskan Terengganu FC ll (TFC ll) 1-0 dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.
Permulaan babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mencari jaringan pembukaan, namun pelawat terlebih dahulu meledak gol pertama pada minit ke-29 menerusi rembatan kencang kapten The Red Warriors (TRW) Nurshamil Abd Ghani dari luar kotak penalti hasil umpanan pemain import Indonesia, Natanael Ringo.
Pada minit ke-32, skuad kendalian Rezal Zambery Yahya sekali lagi mencemaskan gawang tuan rumah apabila tandukan Syed Sobri Syed Mohamad hampir menerobos gawang, namun diselamatkan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin yang menepis bola keluar.
TFC ll yang semakin tertekan selepas ketinggalan 0-1 cuba melakukan serangan balas, malangnya tindakan pertahanan import, Argzim Redzovic yang menjatuhkan Natanael mengundang padah apabila dilayangkan kad merah oleh pengadil, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi.
Walaupun TFC ll beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua, Kelantan FC gagal memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk menambah gol biarpun memperoleh beberapa peluang keemasan.
TFC ll pula yang beroleh peluang keemasan untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-82 turut kempunan apabila percubaan tepat Jordan Mintah berjaya ditepis penjaga gol, Nik Mohd Amin Ahmad.
Keputusan itu menyaksikan Kelantan FC kini berkongsi 18 mata dengan pendahulu JDT selepas masing-masing mengharungi tujuh perlawanan, namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan.
Sementara itu, TFC II pula berada di kedudukan kelima liga dengan 10 mata selepas mengharungi enam perlawanan.
*Berita asal di Sinar Harian