Liga Perdana Inggeris: Chelsea belasah Manchester United 4-0

Agensi
Oktober 24, 2016 08:07 MYT
Pemain tengah Chelsea N'Golo Kante merembat masuk gol keempat buat pasukannya sewaktu aksi menentang Manchester United pagi tadi. - AFP PHOTO / BEN STANSALL
Aksi Liga Perdana Inggeris pagi tadi menyaksikan penyokong pasukan Chelsea meraikan kejayaan pasukan itu membenam Manchester United 4-0 di laman sendiri dengan melaungkan sorakan “anda tidak lagi istimewa’ kepada pengurus MU, Jose Mourinho.
Dengan rekod sebagai pengurus paling cemerlang buat Chelsea sebelum ini, Mourinho kembali ke Stamford Bridge dengan menyaksikan kekalahan besar pasukan Manchester United.
Pedro Rodriguez membuka jaringan seawal 30 saat aksi bermula buat tuan rumah, sebelum Gary Cahill, Eden Hazard dan N'Golo Kante melengkapkan malam cemerlang pasukan ‘The Blues’.
“Kami menjaringkan gol awal namun terus beraksi dengan baik dan menghasilkan lebih banyak peluang.
“Malam ini kami tidak mengalah, itu yang lebih penting. Ia adalah kemenangan yang meningkatkan tahap keyakinan pasukan,” kata pengurus Chelsea Antonio Conte.
Chelsea mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut tanpa melepaskan sebarang gol dan meningkat kepada kedudukan keempat, di belakang Manchester City, Arsenal dan Liverpool.
Buat pasukan Mourinho pula, pasukannya kini ketinggalan 6 mata di belakang Manchester City.
Kedua-dua pasukan setempat itu bakal beraksi dalam Piala Liga Rabu ini.
#Antonio Conte #Chelsea #Eden Hazard #Gary Cahill #Jose Mourinho #Liga Perdana Inggeris #Manchester United #MU #N'Golo Kante #Pedro Rodriguez
;