Liga Negara-Negara Eropah UEFA: Baik atau buruk?
Israr Khalid
September 13, 2018 10:56 MYT
September 13, 2018 10:56 MYT
TIADA lagi ‘international break’ antara minggu aksi liga bola sepak yang memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antara pasukan-pasukan negara. Kini bermulanya Liga Negara-Negara Eropah atau UEFA Nations League (UNL).
Kejohanan itu diwujudkan UEFA dalam hasratnya untuk memaknakan perlawanan persahabatan antara negara yang selama ini sekadar persahabatan semata-mata, yang kurang digemari majoriti peminat bola sepak kerana disifatkan sebagai membosankan.
Selalunya ia menjadi pentas pasukan bereksperimen, malah ada juga yang dipercayai melalui perlawanan secara sambil lewa sekadar mahu mengambil keuntungan daripada penaja.
Membuka tirai buat julung kalinya 7 September tempoh hari, UNL membangkitkan pelbagai perbincangan dalam kalangan komuniti bola sepak. Adakah ia mampu menambahbaik mutu bola sepak dunia, atau menjadi perosak kepada keindahan sukan paling popular di dunia itu?
Format
55 negara bertanding dalam liga ini dan dibahagikan kepada empat divisyen (A, B, C, D) berdasarkan kedudukan UEFA masing-masing setakat November 2017, iaitu sesudah kelayakan Piala Dunia 2018 tempoh hari.
Dalam empat Divisyen ini, setiap pasukan akan dibahagikan lagi mengikut kumpulan sama ada dibentuk oleh tiga atau empat pasukan. Empat pasukan terbaik dalam Divisyen A akan terus mara ke pusingan separuh akhir, diikuti pentas akhir yang akan menentukan juara Liga Negara-Negara Eropah musim tersebut.
Berlaku kenaikan dan penyingkiran antara Divisyen, di mana empat pasukan tercorot akan tersingkir dari A ke B, B ke C, dan C ke D. Sementara empat pasukan terbaik pula akan naik dari D ke C, C ke B, dan B ke A untuk membolehkan sesebuah pasukan itu berpeluang menjulang kejuaraan UNL.
Kejohanan ini berlangsung dalam enam ‘Matchdays’, dua pertemuan setiap ‘international breaks’ pada September, Oktober dan November. Pusingan empat terakhir atau ‘Final Four’ pula hanya akan berlangsung setiap tahun ganjil, ketika mana tiada kejohanan Piala Dunia atau Piala Eropah (UEFA Euro).
Untuk musim sulungnya tahun ini, keenam-enam ‘Matchdays’ UNL bermula 7 September hingga 21 November 2018, dan pusingan ‘Final Four’ akan diteruskan pada 6-9 Jun 2019.
Kelayakan Piala Eropah (UEFA Euro)
Proses Kelayakan Euro berlangsung seperti biasa, tetapi kali ini dalam kesemua 10 ‘matchdays’ akan ada hanya 20 pasukan iaitu 10 pemenang dan 10 naib juara setiap lima kumpulan layak ke kejohanan tersebut. Empat slot lagi akan ditentukan dengan ‘play-offs’ antara empat pasukan terbaik daripada empat Divisyen UNL (16 pasukan) untuk melengkapkan slot 24 pasukan berentap di pusingan akhir Euro.
Sekiranya ada antara 16 pasukan ‘play-offs’ dari UNL itu sudah melayakkan diri melalui proses Kelayakan Euro, maka slot itu akan diisi oleh pasukan yang berada di kedudukan selepasnya.
Kedudukan dalam bekas mana dalam undian Kelayakan Euro turut ditentukan dengan kedudukan pasukan masing-masing dalam UNL.
Menurut UEFA, mereka percaya kewujudan UNL dan format baharu ini menunaikan hasrat para persatuan bola sepak kebangsaan yang sebelum ini membangkitkan kebimbangan bahawa perlawanan persahabatan tidak memberikan saingan secukupnya.
“UNL mewujudkan perlawanan yang lebih memberi saingan dan bermakna untuk pasukan dan struktur serta kalendar yang lebih berdedikasi untuk bola sepak pasukan kebangsaan,” kata UEFA.
Bagaimanapun, bagaimana impaknya kepada prestasi pemain? Dengan bertambahnya jumlah perlawanan kompetitif dalam satu musim, pastinya lebih beban kerja perlu dilalui seseorang pemain terlibat yang akhirnya memenatkan dan meningkatkan risiko mereka ditimpa kecederaan.
Baik atau buruk?
Walaupun UEFA menegaskan bahawa UNL dan proses baharu Kelayakan Euro ini berlangsung seperti jadual perlawanan antarabangsa sedia ada dan tiada penambahan jumlah perlawanan, perlu diingat UNL adalah kompetitif dan bukannya perlawanan suka-suka seperti persahabatan biasa sebelum ini.
Bukan sahaja para pemain, malah seluruh anggota pasukan tidak boleh untuk memandang lewa UNL. Khususnya pemain, merekalah yang akan berlatih lebih keras dan memberi lebih fokus untuk memastikan persembahan mereka di pentas UNL adalah yang terbaik.
Secara amnya, seseorang pemain itu memerlukan sekitar 72 jam antara sesi latihan atau perlawanan berintensiti tinggi untuk pulih secukupnya kepada kecergasan penuh.
Namun, dalam kebanyakan liga profesional ramai pemain yang tidak memiliki masa yang cukup untuk berehat terutamanya mereka yang berada dalam pasukan teratas yang lazimnya menyertai lebih banyak kejohanan dalam satu-satu musim.
Malah ada kajian menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya enam hari diperlukan untuk proses pemulihan untuk mengecilkan risiko kecederaan.
Keletihan juga bukan sahaja disebabkan oleh latihan dan perlawanan, tetapi juga daripada perjalanan dari satu venue ke satu venue perlawanan. Turun naik kapal terbang dan bas, berpindah-pindah hotel sebenarnya bukanlah sesuatu yang seronok jika ia perlu dihadapi selalu.
Bagaimanapun pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sadek Musaffa melihat kesan pengenalan UNL dari aspek positif, di mana ini akan merancakkan lagi program dan aktiviti sains sukan khususnya dari segi kajian dan pembangunan dalam pemulihan sukan.
“Mereka melihat skop yang lebih luas dari aspek tindakan proaktif kerana mereka ada kemahiran dan kepakaran.
“Kita akan dapat lihat mereka akan hasilkan proses memendekkan tempoh pemulihan kecederaan misalnya, dan meningkatkan lagi potensi dari aspek penyediaan fizikal pemain-pemain,” katanya ketika ditemu bual dalam program Bualan Astro AWANI.
Malah katanya lagi, dalam mencari jalan penyelesaian atau alternatif mengelakkan risiko kecederaan pemain, senario ini juga membuka peluang untuk pengenalan bakat-bakat baharu di pentas yang serius untuk persediaan ke kejohanan lebih berprestij seperti Euro dan Piala Dunia.