Liga-M: Tiada 'awang import' lagi bagus - Pemilik PJ City
Bernama
Mac 3, 2022 07:42 MYT
Mac 3, 2022 07:42 MYT
KUALA LUMPUR: Kehadiran pemain import dalam kancah saingan Liga Malaysia (Liga-M) bukannya mendatangkan kebaikan, malah 'melemahkan' lagi mutu bola sepak negara.
Pemilik Petaling Jaya (PJ) City FC Datuk Seri Vijay Eswaran secara peribadi berpendapat sudah tiba masanya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat tindakan drastik dengan mengubah polisi yang membenarkan 'awang import' beraksi dalam saingan bola sepak tempatan.
Vijay berkata sejarah membuktikan tanpa penyertaan pemain import, pasukan bola sepak kebangsaan ternyata mencatat pencapaian membanggakan apabila Harimau Malaya muncul juara buat kali pertama dalam Piala AFF pada 2010 manakala skuad Bawah 23 tahun kebangsaan meraih emas dua kali berturut-turut pada Sukan SEA 2009 dan 2011.
"Saya bersetuju kita memerlukan pemain asing...malah pada 2009 sehingga 2011 ketika liga tempatan tidak benarkan mereka (pemain import) beraksi, pasukan Malaysia ternyata bermain sangat baik ketika itu.
"Kebergantungan kepada pemain import tidak boleh naik taraf bola sepak kita....Kita perlu mengubah cara kita bertindak sekarang, jika kita tidak berubah, tiada apa yang akan berlaku," katanya kepada Bernama.
Buat masa ini, pasukan Liga Super dibenarkan mendaftar lima tonggak import manakala empat pemain luar dibenar didaftarkan bagi pasukan Liga Perdana.
Pemain import dibenarkan beraksi sejak Liga Semi Pro diperkenalkan di Malaysia pada 1989, namun FAM pada Ogos 2008 membuat keputusan tidak membenarkan mereka beraksi pada 2009.
Bagaimanapun, FAM kembali membenarkan pemain import beraksi dalam Liga-M mulai musim 2012.
Sekiranya langkah tidak membenarkan pemain import daripada terus beraksi itu sukar dilakukan, Vijay mencadangkan agar kuota pengambilan pemain import dikurangkan kepada tiga pemain terlebih dahulu.
"Saya lebih suka tiada pemain import langsung dalam liga tempatan tapi kalau nak ambil jurulatih asing tidak menjadi masalah," tambahnya.
Bukan itu sahaja, beliau juga seakan tidak setuju dengan projek naturalisasi FAM yang dilihat merugikan bakat sedia ada dimiliki pemain tempatan dalam skuad kebangsaan.
Justeru, Vijay berkata langkah PJ City yang sememangnya terkenal dengan polisi 'YakiniLokal' apabila muncul satu-satunya pasukan Liga Super dibarisi 100 peratus kudrat tempatan diharap sedikit sebanyak membantu meningkatkan prestasi pemain Malaysia.
-- BERNAMA