Liga M'sia 2015 janjikan saingan sengit - Jurulatih Tempatan
Bernama
Januari 30, 2015 18:49 MYT
Januari 30, 2015 18:49 MYT
Kempen Liga Malaysia (Liga M) 2015 yang akan membuka tirai menerusi perlawanan Piala Sumbangsih di Larkin, Johor, esok bakal menjanjikan saingan sengit bagi pasukan yang bertanding memburu mahkota kejuaraan bola sepak tanah air itu.
Merancakkan lagi saingan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku pentadbir bola sepak negara, telah melakukan transformasi terhadap liga berkenaan, antaranya memperkenalkan empat pemain import termasuk satu kuota pemain benua Asia dalam setiap perlawanan musim ini.
Langkah ke hadapan FAM itu adalah bagi merealisasikan hasrat badan induk itu untuk menswastakan liga berkenaan menjelang 2016, agar menjadi lebih kompetitif dan antara terbaik di rantau Asia.
Saingan Liga M 2015 bermula menerusi perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juara Piala Malaysia, Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, esok.
JDT pastinya ingin membalas dendam kepada skuad Tok Gajah pada aksi final Piala Malaysia 2014, selepas tewas 3-5 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam masa penuh perlawanan.
Tumpuan peminat tempatan juga terarah ke aksi Liga Premier dan Liga Super yang bakal bermula pada 6 dan 7 Feb, dengan saingan hebat bakal ditampilkan pasukan bertanding menerusi pelaburan mencecah jutaan ringgit bagi merangkul kejuaraan.
Kehadiran juara dan naib juara Liga Perdana 2014, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Felda United FC (FUFC) dalam saingan Liga Super 2015 juga perlu diberi perhatian kerana dua pasukan itu mencatat prestasi agak konsisten dalam saingan Liga M, musim lepas.
Selain itu, kemasukan juara Liga FAM, Kuantan FA dari Pahang dan Kuala Lumpur ke Liga Premier musim ini, semestinya menjanjikan aksi mendebarkan di samping sasaran menggunung beberapa pasukan negeri seperti Kedah dan Negeri Sembilan Matrix yang meletakkan sasaran beraksi pada Liga Super 2016.
Beberapa jurulatih tempatan yang dihubungi Bernama, melihat saingan kedua-dua liga berkenaan dijangka sengit memandangkan pasukan bertanding berlumba-lumba mendapatkan khidmat pemain ternama tempatan mahupun antarabangsa bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.
Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh menjangkakan selain JDT dan Pahang, kelibat beberapa pasukan lain dalam Liga Super seperti PDRM dan FUFC bakal menjadi ancaman kepada pasukan yang bertanding dalam liga itu.
"Saya lihat kebanyakan pasukan kini berlumba-lumba mendapatkan khidmat pemain terbaik. Selain beberapa pasukan seperti Pahang dan JDT, Selangor umpamanya harus diberi tumpuan kerana mereka sentiasa mempamerkan aksi luar jangka walaupun berdepan masalah (pengurusan) ketika ini," katanya.
Berkongsi pandangan sama adalah bekas ketua jurulatih skuad Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee yang menyifatkan saingan Liga M 2015 menjanjikan aksi lebih kompetitif menerusi pengenalan empat pemain import.
"Semestinya pengenalan empat pemain import ini bakal menaikkan lagi imej liga kita yang semakin bertambah baik (dari tahun ke tahun) dan kehadiran mereka bakal memberi faedah besar kepada pasukan yang bertanding terutamanya bagi pemain muda yang dapat menimba pengalaman daripada mereka.
"Bagi saya, beberapa pasukan seperti JDT, Pahang, Angkatan Tentera Malaysia, dan Kelantan juga bakal menjadi pencabar utama kejuaraan di samping FUFC dan PDRM," kata Kim Swee.
"Bagi saingan Liga Premier, saya lihat pasukan Kedah dan Sabah umpamanya antara pasukan yang berpotensi mencabar kejuaraan liga namun bagi saingan awal musim, agak sukar meramalkan pasukan mana yang akan menguasai takhta liga," kata jurulatih kelahiran Melaka itu.
Sebelum sepak mula, kempen Liga M juga tidak lekang dengan kontroversi termasuk isu bekas pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat yang dikenakan penggantungan tiga bulan selain didenda RM50,000 oleh FAM kerana melanggar peraturan perpindahan pemain dengan menandatangani kontrak bersama JDT dan Pahang.
Bekas rakan sepasukannya, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir turut mencetuskan kontroversi selepas menjadi rebutan antara negeri kelahirannya, Kelantan dan FUFC walaupun peraturan FAM jelas mensyaratkan pemain yang sudah tamat kontrak dengan Harimau Muda harus kembali ke negeri asal masing-masing.
Pemain berusia 22 tahun itu memutuskan menyertai FUFC musim ini, selepas dikatakan tidak yakin dengan kemampuan merebut tempat dalam kesebelasan utama Kelantan walaupun Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berusaha mendapatkan khidmatnya.