Liga Juara-Juara: Liverpool belasah Maribor 7-0
Astro Awani
Oktober 18, 2017 11:49 MYT
Oktober 18, 2017 11:49 MYT
PASUKAN gergasi Liverpool mencipta sejarah apabila mengejutkan tuan rumah Maribor 7-0 dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Liverpool turun tanpa kelibat Sadio Mane yang mengalami kecederaan hamstring.
Namun ia tiada menjejaskan pasukan apabila Liverpool membuka tirai gol seawal minit ke-4 melalui Roberto Firmino hasil hantaran licik bintang baharu Mohamed Salah.
Philippe Coutinho kemudian menggandakan pendahuluan pasukannya apabila berjaya menyempurnakan hantaran James Milner pada minit ke-13.
Serangan bertubi-tubi The Reds bersambung apabila Salah pula mencatat nama sebagai penjaring apabila meledakkan gol ketiga pada minit ke-19 dan gol keempat pada minit ke-40 untuk memberi Liverpool pendahuluan selesa di hujung babak pertama.
Di babak kedua, Maribor kelihatan tidak tentu arah apabila tidak mampu mempertahankan gawang sendiri daripada asakan Liverpool apabila pada minit ke-54, Firmino sekali lagi mengambil kesempatan atas kecelaruan pertahanan pasukan "Vijolice" untuk menjaringkan gol kelima buat pasukannya.
Alex Oxlade Chamberlain turut mencipta sejarah apabila menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-86 selepas menyertai Liverpool dari Arsenal baru-baru ini diikuti dengan ledakan daripada Trent Alexander Arnold pada minit ke-90 untuk memberi kemenangan 7-0 kepada bekas juara lima kali Liga Juara-Juara itu.
Liverpool yang tidak pernah mencatat jaringan sebanyak itu di luar laman sendiri, di pentas berprestij itu sekali gus memastikan pendahuluan di tangga pertama dalam Kumpulan E dengan hanya perbezaan gol yang menjadi pemisah dengan pasukan di tangga kedua, Spartak Moscow.
#Alex Oxlade Chamberlain
#Liga Juara-Juara
#Liverpool
#Mohamed Salah
#Moribor
#Roberto Firmino
#spartak moscow
#Vijolice