PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola, mengatasi rekod Alex Ferguson, Jose Mourinho dan Carlo Ancelotti sebagai pengurus yang meraih paling banyak kemenangan dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.

Pasukan kendaliannya itu bangkit daripada ketinggalan untuk membenam Real Madrid 2-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.

Dengan kemenangan itu, Guardiola, yang pernah menjulang dua kejuaraan Liga Juara-Juara sewaktu membimbing Barcelona, mencipta satu sejarah baru.





Ia merupakan kemenangannya yang ke-28 dalam pusingan kalah mati kejohanan itu untuk mengatasi Ferguson, Mourinho dan Ancelotti, yang masing-masing merekodkan 27 kemenangan.

Guardiola juga menjadi pengurus yang mencatatkan kemenangan paling banyak ke atas Real Madrid (10) dalam kesemua kejohanan sepanjang abad ke-21 -- mengatasi Ernesto Valverde dan Diego Simeone.