Liga Juara-Juara: Bayern Munich muncul juara
Astro Awani
Mei 25, 2013 07:27 MYT
Mei 25, 2013 07:27 MYT
Bola sepak Liga Juara-juara Eropah.
Jaringan Arjen Robben di lewat permainan membantu Bayern Munich untuk muncul juara musim ini.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Wembley, Bayern melakar kemenangan dua satu ke atas Borussia Dortmund.
Turun dengan misi mahu menang, kedua-dua gergasi Jerman ini mempamer corak serangan pantas.
Dortmund terlebih dahulu mendapat peluang, namun percubaan Jacub Blaszczykowski pada minit ke-10 meliar.
Permainan kemudian terus berlangsung rancak dengan aksi berbalas serangan antara kedua-dua pasukan.
Tiga minit menuju rehat, Arjen Robben hampir meletakkan Bayern di depan namun percubaannya ditampan Roman Weidenfeller.
Bersambung babak kedua, aksi lebih agresif dipamer kedua-dua pasukan.
Namun skuad Bavaria terlebih dahulu di depan pada minit ke-60 menerusi jaringan Mario Mandzukic.
Lapan minit berselang terjahan keras Dante ke atas Marco Reus mengundang padah dengan menyaksikan sepakan penalti dihadiahkan buat Dortmund.
Ia kemudian mudah disempurnakan Iklay Gundogan untuk memastikan kedudukan kembali terikat satu sama.
Robben bagaimanapun muncul wira apabila bijak menggunakan kesempatan kekalutan di depan gawang Dortmund untuk menjaring gol kemenangan Bayern.
Kemenangan itu membolehkan Bayern menjulang piala kejuaraan Liga Juara-juara buat kali kelima.