Liga Juara-Juara: Aksi pertama Leipzig-Liverpool di gelanggang berkecuali

Astro Arena
Februari 8, 2021 11:37 MYT
Peraturan yang ditetapkan oleh UEFA membenarkan jadual perlawanan pusingan 16 ditukar atau dipindahkan ke gelanggang yang berkecuali. - Foto Astro Arena
BUDAPEST akan menjadi tuan rumah kepada perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) di antara RB Leipzig dan Liverpool, demikian Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengesahkannya.
Venue perlawanan itu harus dirombak selepas kerajaan Jerman mengenakan sekatan perjalanan terhadap kawasan yang terjejas dengan mutasi COVID-19 untuk sekurang-kurangnya 17 Februari depan -- sehari selepas mereka sepatutnya bertandang ke Leipzig.
Pengecualian hanya diberikan kepada warga negara atau penduduk Jerman tetapi tiada pengecualian khas buat atlet profesional, ini bermakna skuad Liverpool tidak akan dibenarkan memasuki negara ini.
Peraturan yang ditetapkan oleh UEFA membenarkan jadual perlawanan pusingan 16 ditukar atau dipindahkan ke gelanggang yang berkecuali.
Dengan bekerjasama kedua-dua kelab, badan induk Eropah itu mengumumkan Leipzig dan Liverpool akan berentap di Arena Puskas, Hungary.
"UEFA ingin mengucapkan terima kasih kepada RB Leipzig dan Liverpool atas kerja sama dan bantuan penuh mereka bagi mencari jalan keluar atas permasalahan ini selain Konfederasi Bola Sepak Hungary atas sokongan mereka dan persetujuan untuk menjadi tuan rumah kepada perlawanan ini," menurut satu kenyataan daripada UEFA.
Perlawanan akan kekal pada tarikh asal iaitu pada 17 Februari (waktu Malaysia) sementara aksi timbal balik di Anfield dijadual pada 11 Mac depan.
#Liverpool #bola sepak #COVID-19 #Liga Juara-Juara #UCL #RB Leipzig #Persatuan Bola Sepak Eropah #UEFA #Budapest
;