Liga Juara-Juara AFC: JDT kutip satu mata pada aksi terakhir

Bernama
Julai 8, 2021 08:00 MYT
Keputusan malam tadi menyaksikan JDT merakam satu kemenangan, satu seri serta tewas empat kali. - Foto Facebook/JOHOR Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) menutup kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Ratchaburi FC pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, malam tadi.
Satu mata dikutip menyaksikan skuad Harimau Selatan menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga dengan mengumpul empat mata sekali gus gagal memperbaiki pencapaian pada kempen 2019 apabila turut hanya meraih empat mata daripada keseluruhan enam perlawanan.
Turun dengan misi mencatat kemenangan kedua selepas mengatasi Ratchaburi FC 1-0 pada pusingan pertama aksi kumpulan, JDT sebaliknya dihimpit kegagalan menyudahkan peluang terhidang sepanjang 90 minit perlawanan untuk mengutip tiga mata penuh.
Memulakan aksi dengan persembahan positif, skuad bimbingan Benjamin Mora memiliki peluang keemasan untuk mendahului seawal minit ketujuh menerusi gerakan serangan balas pantas, namun rembatan pemain tengah Safiq Rahim yang tidak dikawal dalam kawasan kotak penalti tersasar.
Ratchaburi FC yang memburu kemenangan sulung dalam saingan kumpulan sesekali berjaya menembusi benteng pertahanan JDT yang memaksa ketua pasukan Mohd Farizal Marlias bertindak cemerlang di gawang menyelamatkan dua percubaan berbahaya Steeven Langil pada minit ke-33 dan 49'.
Tandukan pemain import JDT Bergson da Silva yang menerima hantaran rakan sepasukan Arif Aiman Mohd Hanapi hampir memecah kebuntuan pada minit ke-54 tetapi penjaga gol Nukoolot Krutyai lebih bersedia membaca pergerakan bola untuk mempertahankan kedudukan.
Menghampiri masa penuh perlawanan, kedua-dua pasukan sekali lagi mensia-siakan peluang meledak jaringan pada masa kecederaan babak kedua selepas tandukan pemain gantian Apiwat Pengprakon hanya sedikit melewati palang gol sementara rembatan Muhammad Akhyar Abdul Rashid tepat ke penjaga gol.
Keputusan malam tadi menyaksikan JDT merakam satu kemenangan, satu seri serta tewas empat kali masing-masing di tangan kelab dari Jepun Nagoya Grampus dan wakil dari Korea Selatan Pohang Steelers FC sepanjang aksi kumpulan.
Sementara itu, Nagoya Grampus mengesahkan slot ke pusingan kalah mati apabila mengungguli saingan Kumpulan G dengan rekod tanpa kalah selepas terikat 1-1 menentang Pohang Steelers FC dalam satu lagi aksi.
-- BERNAMA
#bola sepak #JDT #afc
;