Liga Juara-Juara AFC: JDT cipta tanda aras baharu walaupun tewas

Bernama
Ogos 20, 2022 17:13 MYT
Skuad Harimau Selatan mencipta tanda aras baharu apabila menjadi kelab Malaysia pertama layak beraksi di pusingan 16 terbaik kejohanan berprestij itu. - Facebook: JOHOR Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Biarpun tersingkir di pusingan 16 terbaik, pencapaian dicipta Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke peringkat kalah mati saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim ini adalah satu rekod yang memberangsangkan.
Bekas penyerang Johor era 80-an Fadzli Ahmad berkata skuad Harimau Selatan telah mencipta satu tanda aras baharu apabila menjadi kelab Malaysia pertama layak beraksi di pusingan 16 terbaik kejohanan berprestij itu pada penampilan keempat mereka sejak debut pada musim 2019.
"Satu pencapaian yang baik bukan saja untuk Johor tapi seluruh peminat bola sepak tanah air sebab selama ini tiada pasukan dalam Malaysia layak ke pusingan 16 terbaik, satu-satunya pasukan adalah JDT.
"Saya (sebenarnya) mengharapkan JDT boleh bagi saingan sengit dan terperanjat bila tewas dengan jumlah jaringan besar tetapi apabila di peringkat kalah mati kita tahu semua adalah pasukan yang kuat lagi-lagi dah nak masuk peringkat suku akhir," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, JDT yang dibimbing Ketua Jurulatih Hector Bidoglio tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara AFC selepas tewas 0-5 kepada juara dua kali dari Jepun, Urawa Red Diamonds pada pusingan 16 terbaik di Stadium Saitama 2002 di Jepun.
Kekalahan di tangan skuad bimbingan Ricardo Rodriguez Suarez itu yang juga juara edisi 2007 dan 2017, menafikan peluang juara Piala AFC 2015 itu untuk mencipta satu lagi sejarah dengan layak ke suku akhir, selepas menjadi kelab Malaysia pertama melepasi saingan peringkat kumpulan.
Sementara itu, Fadzli yang memenangi dua kejuaraan Piala Malaysia bersama Johor pada 1985 dan 1991 tidak menolak kemungkinan JDT perlu diperkuatkan pemain dengan standard lebih baik bagi menyaingi kehebatan pasukan gergasi Asia pada musim seterusnya.
"Kalau kita lihat dalam pasukan JDT sekarang semuanya pemain dah lama bermain, mungkin perlu cari pemain baharu yang mempunyai prestasi lagi baik, manakala barisan pemain muda kena gilap lagi, mungkin JDT akan menjadi lebih baik selepas itu," katanya.
JDT menunjukkan peningkatan prestasi dalam kempen Liga Juara-Juara AFC saban musim dengan kemuncaknya pada musim ini selepas berjaya mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati selaku juara Kumpulan I biarpun diundi bersama pasukan-pasukan handalan.
Kejayaan itu hadir selepas JDT mencatat kemenangan berganda ke atas juara lapan kali Liga Super China, Guangzhou FC dan wakil Korea Selatan Ulsan Hyundai, selain mencatat satu keputusan seri dan tewas berdepan juara Liga Jepun Kawasaki Frontale untuk mengumpul keseluruhan 13 mata.
Kini, perjuangan JDT tertumpu kepada perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu FC yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 10 Sept ini, selain dilihat berpotensi untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super kali kesembilan berturut-turut.
JDT kini selesa menerajui saingan Liga Super selepas 14 perlawanan dengan mengumpul 38 mata, meninggalkan pencabar terdekat Sabah FC yang sudah mengharungi 16 aksi di tempat kedua (35 mata) sementara Negeri Sembilan yang beraksi 17 perlawanan mengutip 32 mata di tempat ketiga.
-- BERNAMA
#JDT #Liga Juara-Juara AFC #sejarah negara #Urawa Red Diamonds
;