Liga Hoki Selangor TNB-QNET kembali dipertandingkan tahun ini

Bernama
April 20, 2024 18:00 MYT
Presiden Persatuan Hoki Selangor S. Ganesh pada sidang media selepas perasmian Liga Hoki Selangor TNB QNET 2024 di Menara Qi hari ini. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Selepas lima tahun menyepi, Liga Hoki Selangor TNB-QNET (SHL) akan kembali dianjurkan bermula hari ini hingga 2 Jun depan dalam usaha mencungkil bakat baru sukan hoki di tanah air.
Presiden Persatuan Hoki Selangor S. Ganesh berkata liga itu akan dipertandingkan dalam tiga Divisyen dan ia terbuka kepada semua peringkat umur untuk menyertai kejohanan berprestij itu.
"Kali terakhir ia diadakan pada 2019, disebabkan pandemik COVID-19 ia tergendala dan kembali pada tahun ini.
"Kita adakan liga ini untuk akar umbi, dan dengan dorongan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kita akan lebih giat adakan liga seperti ini," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Liga Hoki Selangor TNB-QNET (SHL) di QI Tower di sini hari ini.
Ganesh berkata Divisyen pertama akan menyaksikan lapan pasukan elit akan berentap manakala 10 pasukan bersaing di Divisyen 2 selain enam pasukan wanita akan berentap di Divisyen tiga.
Sementara itu, Pengurus Besar QNET B. Puspalatha berkata QNET bakal menjadi penaja utama bagi SHL yang telah menyalurkan tajaan berupa wang tunai untuk liga berprestij itu.
"Dalam sukan kami memang bersedia, bila mereka temui kami untuk Liga Hoki Selangor dan penajaan, kami memang berbesar hati dan menyokong mereka. Kami bersedia untuk memberi semula terutama kepada akar umbi industri sukan.
"Untuk SHL ini, kami menyalurkan tajaan wang tunai dan menyediakan lokasi untuk mereka adakan pelancaran seperti hari ini di QI Tower," katanya.
-- BERNAMA
#Liga Hoki Selangor TNB-QNET #sukan hoki #Persatuan Hoki Selangor #S Ganesh
;