Liga Hoki Dunia: Kami bermain untuk menang - Kapten

Astro Arena
Jun 28, 2015 18:00 MYT
Pemain negara benar-benar serius walaupun ada yang berpendapat, Malaysia boleh memilih sama ada bertemu India atau Pakistan di suku akhir. - Foto Astro Arena
"Kami bermain untuk menang."
Itu komen kapten hoki negara, Muhammad Razie Abdul Rahim menjelang aksi terakhir kumpulan B menentang Great Britain, malam ini yang bakal menentukan siapa lawan Malaysia di suku akhir pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp.
Pemain negara benar-benar serius walaupun ada yang berpendapat, Malaysia boleh memilih sama ada bertemu India atau Pakistan di suku akhir.
Setiap kali menyarung jersi kebangsaan, maruah Malaysia jadi keutamaan dan ia akan digalas pada pertemuan di Stadium KHC Dragons, malam ini.
Skuad hoki negara bermain untuk menang dan akan cuba sekurang-kurangnya seri menentang pasukan ranking kelima dunia itu.
"Kami memang sasar sekurang-kurangnya kutip 1 mata kerana ia amat penting untuk kekal ditangga kedua. Misal kata kami kalah dan Ireland berjaya mengejutkan Belgium, kami akan menghuni tangga tercorot kumpulan B dan terpaksa berdepan Australia,"
Pandangan sama turut dikongsi rakan sepasukan. Mereka tidak rela ditimpa satu lagi kekalahan selepas tumbang di tangan Belgium.
"Bagi saya corak permainan mereka lebih kurang sama dengan Ireland, cuma ada satu dua pemain yang perlu dijaga rapi seperti Jackson," kata Izad Hakimi
Sementara itu Faiz Helmi berkata: "Kami punyai peluang 50-50 dalam pertemuan malam ini, tapi kami dan jutulatih akan melihat video dan menilai situasi dari situ nanti,"
#Britain #hoki #Malaysia #Separuh Akhir Liga Hoki Dunia
;