Liga Europa: United patut menang besar, Mourinho
Astro Arena
Mei 5, 2017 09:00 MYT
Mei 5, 2017 09:00 MYT
Jose Mourinho berkata, dia amat gembira dengan prestasi Manchester United ketika menentang Celta Vigo, namun tidak berasakan meraih keputusan setimpal apabila percaya pertembungan Liga Europa mereka seharusnya sudah berakhir.
United menang 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Balaidos, perlawanan pada awal pagi tadi itu dipisahkan menerusi sepakan percuma mengagumkan Marcus Rashford pada babak kedua apabila berjaya memperdayakan penjaga gol Celta, Sergio Alvarez.
Peluang itu hadir selepas Sergio menghasilkan tindakan menyelamatkan usaha Rashford, di samping menafikan percubaan Henrikh Mkhitaryan dan Jesse Lingard untuk mengelak pelawat daripada meraih jaringan besar sebelum rehat.
Walaupun United mempunyai kelebihan menjelang aksi kedua di Old Trafford minggu depan, Mourinho berasakan pertembungan itu seharusnya sudah berakhir andai anak buahnya bijak mengambil peluang mereka.
"Saya amat gembira dengan prestasi tetapi tidak dengan keputusan," kata pengurus United itu kepada pemberita selepas perlawanan itu.
"Kami bermain dengan cukup baik untuk menamatkan perjuangan mereka tetapi kami harus beraksi di Old Trafford.
"Pada separuh masa pertama, kami sepatutnya menghasilkan tiga atau sekurang-kurangnya dua gol, tetapi kedudukan masih terbuka."
Mourinho meneruskan: "Kami cuba untuk memenangi perlawanan. Kami terlepas peluang tetapi pasukan ini telah bermain dengan baik, Celta tidak memberi banyak ruang dan mereka adalah sebuah pasukan yang sukar untuk dihadapi.
"Mari kita berharap Old Trafford mahukan kemenangan kerana apabila Old Trafford mahukannya, kami menang."