Liga Europa: Arsenal, Atletico Madrid terlepas pertembungan awal
Astro Arena
Mac 16, 2018 22:28 MYT
Mac 16, 2018 22:28 MYT
PASUKAN pilihan Liga Europa, Arsenal dan Atletico Madrid, masing-masing mengelak pertembungan di peringkat suku akhir apabila bakal membuat perhitungan dengan CSKA Moscow dan Sporting CP.
Pasukan asuhan Arsene Wenger itu membelasah AC Milan 5-1 secara agregat dalam pusingan 16 manakala Atletico menikmati keputusan hebat ke atas Lokomotiv Moscow menerusi kejayaan agregat 8-1, sekali gus menghantar amaran awal kepada pencabar mereka.
Kedua-dua kelab tetap mempunyai hasil undian yang sukar, terutama Arsenal, yang membabitkan perjalanan jauh ke Moscow, namun The Gunners dan Atletico dijangka akan meneruskan kemaraan.
RB Leipzig, yang menampilkan prestasi memberangsangkan pada musim sulung di pentas Eropah, akan menentang Marseille yang mengetepikan Athletic Bilbao 5-2.
Red Bull Salzburg, yang menyingkirkan Borussia Dortmund dalam pusingan terdahulu, akan menghadapi Lazio, yang dianggap kuda hitam, apatah lagi mereka kini menghuni tangga keempat Serie A.
Perlawanan pertama akan berlangsung pada 5 April manakala aksi timbal balik seminggu kemudian.
Undian suku akhir Liga Europa:
RB Leipzig lwn Marseille
Arsenal lwn CSKA Moscow
Atletico Madrid lwn Sporting CP
Lazio lwn Red Bull Salzburg