Liew Darren ke final Masters Taiwan
Astro Arena
Oktober 15, 2016 22:30 MYT
Oktober 15, 2016 22:30 MYT
PEMAIN perseorangan profesional negara, Liew Darren, melangkah ke final kejohanan Masters Taiwan apabila berjaya menewaskan wakil tuan rumah di separuh akhir, sebentar tadi.
Liew Darren berjaya mengatasi pilihan kelima kejohanan, Lin Yu Hsien 11-9, 6-11, 11-3, 12-10 dalam tempoh 50 minit.
Bekas pemain dibawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu bakal berdepan wakil India, Sourabh Varma di final pada Ahad.
Sourabh turut mengecewakan wakil tuan rumah dan pilihan pertama kejohanan Hsu Jen Hao, 11-4 11-7 11-9.
Bagaimanapun, kejayaan Darren mara ke final gagal diulangi dua beregu wanita negara yang terkandas.
Gandingan Chow Meik Kuan dan Lee Meng Yean tewas kepada pilihan pertama kejohanan dari Jepun, Yuki Fukushima/Sayaka Hirota, 7-11, 7-11, 3-11.
Sementara pasangan Lim Yin Loo dan Yap Cheng Wen tewas 8-11, 9-11, 6-11 juga kepada wakil Jepun, Shiho Tanaka/Koharu Yonemoto.