Liek Hou tidak sabar tamatkan kuarantin, rindu masakan ibu, isteri
Astro Arena
September 7, 2021 07:25 MYT
September 7, 2021 07:25 MYT
PEMENANG pingat emas acara badminton SU5 Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou, tidak sabar untuk menamatkan tempoh kuarantin selama 14 hari untuk bertemu keluarga tercinta.
Jaguh negara itu, dengan tersipu malu, mengakui sudah lama merindukan masakan ibu dan isterinya sepanjang mempersiapkan diri bagi menghadapi temasya berkenaan.
Dalam temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Yeoh Pek Xian, dia berkata: "Saya akan pulang ke rumah dahulu (selepas kuarantin) untuk berjumpa dengan keluarga saya dan menunjukkan pingat emas yang saya menangi di Tokyo kepada mereka.
"Saya mahu menceritakan segala-gala yang saya hadapi di sana kepada mereka.
"Saya hanya akan bercuti selama tiga hari kerana saya ada satu kejohanan yang besar, iaitu Kejohanan Dunia, jadi saya tidak boleh berhenti berlatih terlalu lama.
"Selama ini, saya sudah lama makan di luar dan sudah lama tidak makan di rumah saya sendiri, jadi saya rindukan masakan ibu dan isteri saya.
"Masakan di luar juga sangat sedap tetapi ia tidak dapat dibandingkan dengan masakan ibu dan isteri saya.
"Kerana masakan mereka berdua (ibu dan isteri saya) sangat ikhlas untuk memberikan saya makan," katanya.
Sebagai rekod, Liek Hou muncul pemenang pingat emas pertama acara badminton dalam sejarah Sukan Paralimpik selepas menewaskan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi, 21-17, 21-15.