Liek Hou terus bersinar, pertahan dua emas di Sepanyol

Bernama
Mac 17, 2025 11:30 MYT
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu menyifatkan kejayaan mempertahankan gelaran dimenanginya pada edisi lepas sebagai hadiah hari jadi paling manis buat dirinya. - Foto Facebook/Cheah Liek Hou
KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Cheah Liek Hou membuktikan usia bukan penghalang untuk mencipta kegemilangan dengan menambah koleksi kejuaraan apabila menyapu dua pingat emas di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol 2025 Tahap 1 di Toledo yang berakhir semalam.
Liek Hou yang menjengah usia 37 tahun pada 8 Mac, melakar kejayaan pertama bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk menundukkan wakil Taiwan Fang Jen-Yu 18-21, 21-17, 21-11 dalam final perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).
Pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik itu meneruskan momentum cemerlang apabila menambah kilauan emas acara beregu lelaki SU5 bersama gandingannya Muhammad Fareez Anuar, menewaskan Jen Yu-Pui Gui Yu dari Taiwan 21-13, 21-18.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu menyifatkan kejayaan mempertahankan gelaran dimenanginya pada edisi lepas sebagai hadiah hari jadi paling manis buat dirinya.
"Walaupun persediaan ke pertandingan ini sangat singkat tetapi saya masih dapat mengatasi tekanan dan kecederaan yang saya hadapi sejak kebelakangan ini. Saya berterima kasih kepada penaja baharu dan yang masih sudi menyokong saya.
"Kepada penyokong setia saya, terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus sepanjang kejohanan dan perjalanan saya. Saya akan melakukan yang terbaik demi anda semua dan negara tercinta, Malaysia," katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, kem negara turut membawa pulang satu lagi pingat emas menerusi beregu berkerusi roda Muhammad Ikhwan Ramli-Noor Azwan Noorlan dalam kategori WH1-WH2.
Muhammad Ikhwan turut menyumbang perak dalam acara perseorangan WH1, manakala Muhammad Fareez dan Mhd Amin Burhanuddin masing-masing meraih gangsa dalam acara perseorangan lelaki SU5 dan perseorangan lelaki SL4 (ketidakupayaan fizikal).
-- BERNAMA
#Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol 2025 #Cheah Liek Hou #pingat emas #final
;