Liek Hou rangkul dua lagi emas di Sepanyol
Bernama
April 28, 2024 21:15 MYT
April 28, 2024 21:15 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou terus cemerlang apabila menggondol dua pingat emas dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan beregu lelaki SU5 pada Kejohanan Badminton Para Sepanyol Antarabangsa II 2024 pada Sabtu.
Pada aksi final yang berlangsung di Toledo, Sepanyol, Liek Hou mengetepikan pencabar dari Taiwan Fang Je Yu 21-19, 21-17 untuk merangkul emas, menurut https://bwfpara.tournamentsoftware.com.
Pingat gangsa menjadi milik rakan senegara Muhammad Fareez Anuar yang ditewaskan Liek Hou 26-28, 22-20, 20-22 pada aksi separuh akhir.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu menambah kilauan emas menerusi gandingan bersama Muhammad Fareez pada final beregu lelaki SU5 dengan mengatasi pasangan India, Hardik Makkar-Ruthick Ragupathi 21-16, 22-20.
Minggu lepas, Liek Hou memperoleh dua emas bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan beregu lelaki SU5 bersama Muhammad Fareez di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol 2024 Tahap 2 di Vitoria-Gasteiz, Sepanyol.
-- BERNAMA