Liek Hou rampas semula ranking no. 1 dunia

Bernama
Julai 6, 2022 08:20 MYT
Liek Hou, yang mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas badminton yang pertama Sukan Paralimpik Tokyo tahun lalu, juga berharap mengekalkan ranking teratas dunia selama mungkin. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Selepas merampas kembali ranking nombor satu dunia baru-baru ini, jaguh paralimpik negara, Cheah Liek Hou kini menyasarkan untuk merampas kembali mahkota Kejohanan Badminton Para Dunia di Tokyo, November ini.
Jika pemain berusia 35 tahun itu berjaya dalam misi pada kejohanan itu dari 1 hingga 6 November ini, selepas ditangguhkan selama setahun, pencapaian itu akan menjadi pingat emas ke-12 beliau di pentas dunia sejak 2007.
Liek Hou, yang mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas badminton yang pertama Sukan Paralimpik Tokyo tahun lalu, juga berharap mengekalkan ranking teratas dunia selama mungkin.
"Gembira dapat dapat kembali sebagai pemain nombor satu dunia sekali lagi. Pada April 2019, beliau jatuh ke tangga kedua dan pada Ogos jatuh tempat keempat. Selepas beberapa tahun, hanya dua minggu lalu saya dapat merampas semula ranking pertama dunia.
"Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengekalkan kedudukan ini. Jadi saya harap boleh memenangi lebih banyak pertandingan dan mencipta lebih banyak rekod untuk diri saya sendiri," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Tahun 2019, khususnya merupakan tahun yang mencabar bagi Liek Hou, yang bukan sahaja kehilangan ranking nombor satu dunianya, tetapi juga satu dekad penguasaan dalam acara perseorangan lelaki SU5 di Kejohanan Dunia berakhir apabila tewas kepada musuh tradisi, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, di separuh akhir untuk berpuas jhati dengan pingat gangsa.
Selepas melalui beberapa fasa mencabar dalam kariernya yang diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya bangkit semula untuk memenangi beberapa kejuaraan antarabangsa dengan menebus kekecewaan ke atas Dheva di Sukan Paralimpik Tokyo.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara, dan Kementerian Belia dan Sukan kerana mempercayai saya dan memberi peluang untuk mewakili negara walaupun ranking dunia saya merosot dan prestasi saya menurun. Ia membantu embuktikan bahawa saya masih boleh mara ke Sukan Paralimpik Tokyo.
Tidak lupa kepada pasukan bimbingan saya yang diketuai oleh Datuk Rashid Sidek, yang berdedikasi dan berkongsi banyak pengalaman untuk membantu saya mendapatkan kembali keyakinan dan prestasi saya untuk tahun ini," katanya.
Liek Hou telah memenangi lima pingat emas perseorangan lelaki berturut-turut dalam Kejohanan Dunia daripada edisi 2007 hingga 2017 sebelum kehilangan gelaran pada 2019.
Dalam acara beregu lelaki, beliau memenangi empat gelaran berturut-turut dari 2007 hingga 2015, tetapi pada 2017 dan edisi 2019, beliau pulang masing-masing dengan pingat perak dan gangsa.
Katanya, beliau belum membuat keputusan mengenai acara beregu untuk edisi kali ini kerana belum memutuskan pasangannya.
Liek Hou seterusnya akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Para Antarabangsa Empat Negara di Dublin, Ireland dari 11-17 Julai, diikuti Sukan Para ASEAN di Solo, Indonesia, dari 30 Julai hingga 6 Ogos ini.
-- BERNAMA
#badminton #Cheah Liek Hou #jaguh paralimpik negara #ranking nombor satu dunia
;