Li Jane raih emas kejohanan boling siri jelajah PWBA

Bernama
Mei 12, 2024 19:35 MYT
Pemain berusia 32 tahun itu mempamerkan aksi dominan sepanjang saingan apabila melakukan 5,289 jatuhan pin secara keseluruhan dalam pertarungan stepladder. - Foto Instagram Sin Li Jane
KUALA LUMPUR: Pemain boling wanita negara Sin Li Jane ternyata masih berbisa apabila meraih pingat emas di kejohanan boling Terbuka Journal Rockford di The Cherry Bowl di Illinois, Amerika Syarikat pada Sabtu.
Pemain berusia 32 tahun itu mempamerkan aksi dominan sepanjang saingan apabila melakukan 5,289 jatuhan pin secara keseluruhan dalam pertarungan stepladder.
Beliau mengetepikan cabaran Dasha Kovalova dari Ukraine yang melakukan 5,221 jatuhan pin untuk meraih perak manakala wakil tuan rumah Josie Barnes terpaksa berpuas hati dengan perak selepas melakukan 5,208 jatuhan pin.
"Ia adalah satu daripada matlamat saya untuk kembali tahun lepas, tetapi kami mempunyai beberapa kejuaraan utama di Malaysia.
"Rasanya baik untuk kembali dalam lawatan siri jelajah ini," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Li Jane berjaya mengekalkan aksi konsisten sepanjang 24 permainan dalam laluan untuk muncul juara pada kejohanan tersebut yang merupakan Siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA).
-- BERNAMA
#pemain boling wanita negara #Sin Li Jane #raih pingat emas #kejohanan boling Terbuka Journal Rockford
;