LFC World bawa pengalaman berada di Anfield

Israr Khalid
Disember 16, 2016 08:21 MYT
Para peminat Liverpool tentu sekali tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati suasana seperti berada di stadium Anfield. - Foto Astro AWANI/Israr Khalid
Mungkin sekitar 99 peratus peminat Liverpool FC di Malaysia tidak pernah berpengalaman berada di Anfield, stadium kelab bola sepak gergasi Inggeris itu.
Mana tidaknya, dengan perjalanan sejauh lebih 10,000 kilometer ditambah pula dengan tiket penerbangan yang mahal untuk ke England, tidak semua peminat The Reds berpeluang untuk berada di gelanggang keramat kelab pujaan mereka.
Melihat sokongan dan kesetiaan tidak berbelah yang sentiasa dipamer biarpun jauh beribu batu, Liverpool FC dengan kerjasama Standard Chartered membawakan LFC World, iaitu jelajah khas untuk penyokong kelab yang memenangi 18 kali liga dan lima kali Piala Eropah itu.
Jelajah yang bermula di Singapura itu kini telah tiba di Malaysia, bertempat di iOi City Mall, Putrajaya.
Para peminat dapat melihat replika Shankly Gate, pintu masuk bersejarah yang menjadi ikon stadium Anfield, muzium mini yang mempamerkan jersi yang pernah dipakai pemain terdahulu dan terbaharu seperti 'Anfield Iron' Tommy Smith, Jordan Henderson dan Steven Gerrard juga replika Piala Eropah, The Ol' Big Ears, serta informasi tentang sejarah kelab.
LFC World di Malaysia turut diserikan dengan kehadiran legenda Liverpool iaitu Robbie Fowler, yang mengatakan masih sentiasa teruja biarpun sudah beberapa kali berkunjung ke Malaysia.
"Saya rasa ia sangat menakjubkan, kelab ini punyai peminat di segenap pelosok dunia. Rakyat negera ini sangat hebat dan cinta mereka kepada Liverpool begitu luar biasa.
"Apa yang dibuat kelab ini ketika ini adalah sebagai tanda terima kasih kepada peminat. Kami tidak dapat membawa semua mereka ke Anfield, saya tahu ia sukar, tetapi kami bawakan sebahagian daripada Liverpool dan bawakan ia dekat dengan anda supaya anda tidak perlu berjalan jauh," katanya.
Selain Robbie, turut menyertainya dalam jelajah ini adalah Vladimir Smicer, Patrik Berger dan Bruce Grobbelaar yang akan menemui pengunjung secara berjadual.
Pengunjung juga boleh mencuba menewaskan penjaga gol automatik menerusi sepakan penalti 'Robo-Keeper', bermain permainan video PES 2017 di PS4 selain jualan barangan rasmi LFC dan macam-macam lagi.
Kemuncak pengalaman seakan berada di Anfield adalah pengunjung dapat menyaksikan pemandangan 360 darjah di main stand stadium Anfield dan berada di dalam bilik persalinan pasukan di mana jurulatih Jurgen Klopp dan kesemua kesebelasan utama pemain Liverpool seperti berada betul-betul di depan mata!
Malah, ia turut mengenangkan Robbie kepada zaman ketika dia masih sebagai seorang pemain kelab tersebut sekitar 90-an.
"Bagi saya ini adalah yang paling hampir dengan rasanya berada di dalam bilik persalinan! Saya sudah pasti sebagai bekas pemain memang kalau boleh mahu kembali ke sana.
"Saya dan John Barnes meluangkan masa untuk merakam video tersebut, memberi peminat pengalaman bagaimana rasanya berada di stadium buat kali pertama. Anda perlu mengalaminya sendiri, memang hebat," katanya.
Sementara itu Ketua Perbankan Runcit Standard Chartered Bank Malaysia, Aaron Loo berkata, kerjasama antara LFC dengan Standard Charetered bukan sahaja memberi manfaat kepada perniagaan bank tersebut, tetapi juga kepada kelab dan penyokongnya.
Maklumnya, peminat juga sebenarnya berpeluang untuk ke Anfield menerusi perkhidmatan dan produk yang ditawarkan bank tersebut.
"Standard Chartered dan LFC punyai sejarah panjang sebagai sebuah institusi. Kami berada di Malaysia selama 141 tahun, LFC juga usianya lebih daripada 100 tahun. Kerjasama antara kami adalah hebat, boleh dikatakan kerjasama paling berjaya yang pernah dilihat Standard Chartered.
"Melihat prestasi semasa LFC yang agak meyakinkan, saya menjangkakan kelompok penyokong akan berkembang dan ia sangat baik untuk perniagaan kami. Setakat ini lebih daripada 150,000 kad debit kami dengan paparan LFC telah dikeluarkan, jadi saya rasa ia satu peluang yang hebat." katanya yang juga penyokong setia LFC.
LFC World berlangsung bermula 13 Disember dan akan berakhir 25 Disember ini sebelum menjelajah ke destinasi seterusnya.
Kopites sekalian, memang rugi kalau tak datang! YNWA.
#Anfield #Kopites #LFC World #Liverpool FC #Shankly Gate #Standard Chartered #The Reds #YNWA
;