Lewandowski beri amaran menjelang Piala Dunia

Astro Arena
Jun 14, 2018 10:13 MYT
Robert Lewandowski. - Foto Astro ARENA
PENYERANG Poland, Robert Lewandowski, menegaskan dirinya kini berada dalam tahap terbaik dan bersedia memberikan kesan besar buat negaranya di pentas Piala Dunia.
Pemain Bayern Munich itu mahu Poland meningkatkan prestasi berbanding kejayaan ketika saingan Piala Eropah 2016, di mana mereka melangkah ke suku akhir sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh juara, Portugal.
Dia yang telah melakukan kurang 500 minit penampilan bersama Bayern berbanding ketika menuju ke Perancis pada dua tahun lalu berharap situasi itu mampu memberikan manfaat kepada dirinya di Russia.
"Jika kami membandingkan persediaan ketika Piala Eropah 2016, ia sangat berbeza," kata Lewandowski.
"Saya hadir daripada musim yang berbeza bersama kelab pada kali ini, beraksi dalam minit dan perlawanan yang kurang berbanding sebelum ini.
"Saya berharap anda akan dapat menyaksikan kesegaran daripada skuad di sepanjang kejohanan dan prestasi dapat ditingkatkan sejak perlawanan pertama.
"Selepas sekian lama, akhirnya kami kembali ke Piala Dunia dan mahu menampilkan aksi terbaik. Saya berharap penyokong-penyokong akan mengingati kami seperti skuad 1974 dan 1982."
Kapten Poland, Kamil Glik, bakal terlepas dua aksi awal Kumpulan H bertemu Senegal dan Colombia susulan kecederaan bahu yang dialami ketika cuba melakukan sepakan gunting dalam sesi latihan.
"Saya sedar akan situasi ini kerana pernah mengharunginya. Mengenalinya, mengetahui kesakitan yang dialami dan bagaimana untuk menjalani pemulihan membuatkan kami teruja untuk melihat dia kembali.
"Saya berharap dia cepat sembuh, kembali berlatih dan berjuang bersama kami. Jika dia menyatakan kesediaan untuk beraksi, segalanya akan jelas di atas padang," tambahnya.
#Awani FIFA #bola sepak #Kamil Glik #Piala Dunia #Piala Eropah #poland #Robert Lewandowski #Russia
;