Les Blues, Denmark sama-sama mara selesa (Perancis 0-0 Denmark)
Israr Khalid
Jun 26, 2018 05:09 MYT
Jun 26, 2018 05:09 MYT
Denmark sertai Perancis untuk melangkah ke pusingan 16 pasukan terakhir Piala Dunia FIFA 2018 Rusia selepas kedua-duanya terikat seri tanpa jaringan di Moscow.
Aksi terakhir peringkat Kumpulan C ini menyaksikan Didier Deschamps merehatkan beberapa pemain utama antaranya Paul Pogba, Kylian Mbappe dan penjaga gol utama, Hugo Lloris memandangkan Les Blues sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya sebelum perlawanan ini.
Perlawanan pertama yang mencatat keputusan seri dalam temasya kali ini itu turut mengundang ejekan dan laungan 'boo' daripada penonton di Stadium Luzhniki, atas permainan yang membosankan, kurang ciptaan peluang dan percubaan berbahaya.
Namun ada juga beberapa detik yang sedikit menjentik perhatian, pertamanya pada minit ke-39 daripada ayam tambatan Perancis, Antoine Griezmann tetapi terlalu jinak untuk diselamatkan Kasper Schmeichel.
Danish Dynamite turut mencuba dengan serangan tepat ke gawang hadir hanya selepas 54 minit apabila penjaga gol Perancis, Steve Mandanda gagal menangkap kemas sepakan percuma Christian Eriksen, mujur pantas ditangkap semula sebelum sempat Andreas Cornelius menjaringkan gol pembukaan.
Kedua-dua pasukan terus mengekalkan corak permainan selamat dan memperoleh keputusan diinginkan, ketika masing-masing mengatur perancangan untuk berdepan cabaran di peringkat kalah mati.
Susulan kemenangan 2-0 Peru ke atas Australia, Perancis sah juara kumpulan dengan tujuh mata, Denmark kedua dengan lima mata, Peru pula di tempat ketiga dengan tiga mata dan Australia satu mata.
Menanti Perancis pada 30 Jun ini jam 10 malam di Kazan adalah naib juara Kumpulan D, Argentina, yang mara secara dramatik menewaskan Nigeria 2-1, sementara Denmark akan menentang juara Kumpulan D, Croatia pada 2 Julai jam 2 pagi di Nizhny Novgorod.