Lepaskan Messi jadi jalan terbaik Barcelona - Laporta
Astro Arena
Januari 6, 2023 11:10 MYT
Januari 6, 2023 11:10 MYT
PRESIDEN Barcelona, Joan Laporta, mengulangi pendiriannya bahawa adalah mustahil untuk mengekalkan Lionel Messi di kelab itu pada 2021 memandangkan mereka mereka dihimpit masalah kewangan yang meruncing.
Selepas menggilap bakatnya di akademi Barca, Messi menamatkan kariernya selama 21 tahun di kelab itu, sekali gus menyerlahkan tahap masalah ekonomi mereka.
Kontrak Messi berakhir di penghujung musim 2020-21 dan walaupun secara teknikalnya dia menjadi ejen bebas, Barca diandaikan akan menandatanganinya semula menerusi perjanjian baharu.
Tetapi Barca -– yang hutangnya berjumlah €1.35 bilion (RM6.25b) pada Ogos 2021 -– perlu mematuhi peraturan had gaji LaLiga mereka berjumlah €280 juta (RM1.2b) menjelang kempen 2021-22 akibat dihimpit masalah kewangan itu.
Oleh itu, walaupun Messi dilaporkan bersetuju dengan pengurangan gaji 50 peratus, Barca masih belum mampu menandatangani kapten Argentina tersebut, malah undang-undang pekerjaan Sepanyol melarang majikan menurunkan gaji melebihi 50 peratus.
“Saya perlu mengutamakan Barca berbanding pemain terbaik dalam sejarah bola sepak,” kata Laporta kepada Cadena SER.
"Ketika dihimpit masalah kewangan, saya tidak mampu mengekalkannya. Saya fikir ia adalah jalan terbaik buat kelab."