Lepaskan kejuaraan light heavyweight, Jon Jones bakal bertarung di heavyweight
Hilmi Ismail
Ogos 18, 2020 11:55 MYT
Ogos 18, 2020 11:55 MYT
JAGUH UFC Jon 'Bones' Jones secara rasmi telah melepaskan kejuaraan kelas light heavyweight miliknya.
Petarung dari Amerika Syarikat itu membuat pengumuman tersebut melalui akuan Twitter miliknya pada awal pagi Selasa.
"Baru bercakap dengan UFC melalui telefon, dan saya mengesahkan untuk melepaskan kejuaraan light heavyweight.
"Secara rasmi ia bakal dipertaruhkan (oleh petarung lain). Ia adalah satu pengalaman yang luar biasa. Terima kasih kepada semua pesaing saya, UFC dan yang paling penting, peminat semua," kata Jones menerusi ciapan tersebut.
Bukan sekadar melepaskan kejuaraan light heavyweight miliknya, tambah menarik lagi apabila Jones mengumumkan bakal bertarung dalam kelas heavyweight pula.
"Baru sahaja berbincang dengan UFC. Nampaknya bakal ada rundingan untuk pertarungan saya yang seterusnya dalam kelas heavyweight.
"Semuanya berita baik, proses menambah berat badan (sudah) bermula", kata Jones lagi.
Meskipun belum ada apa-apa pengumuman rasmi dari pihak UFC, namun kebarangkalian bagi Jones bertarung di kelas heavyweight merupakan satu berita baik buat peminat sukan seni bela diri campuran (MMA).
Ini bukan pertama kali Jones 'mengusik' peminat untuk naik ke kelas heavyweight. Sebagai rekod, Jones pernah bertikam lidah dengan pesaing utama kelas heavyweight, Francis Ngannou juga di laman Twitter.
Namun idea tersebut telah dihentikan oleh Presiden UFC sendiri, Dana White.
Naik ke kelas heavyweight juga bakal memberikan cabaran yang baik bagi karier Jones secara keseluruhan.
Jones yang sering digelar petarung MMA terbaik dunia sebelum ini mencipta rekod sebagai petarung paling muda mencapai kejuaraan UFC, iaitu pada umur 23 tahun.
Jones pada ketika itu menewaskan Maurício Rua yang juga juara bertahan light heavyweight pada tahun 2011.
Sejak dari itu, Jones telah bertarung untuk kejuaraan yang sama sebanyak 14 kali tak tidak pernah tewas walau satu perlawanan pun.
Rekodnya tercalar apabila Jones pernah dilucutkan dari gelaran juara oleh UFC sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2015, 2016 dan 2017.
Ia berikutan daripada masalah undang-undang yang dihadapainya diluar gelanggang Octagon dan juga didapati positif dalam penggunaan steriod terlarang.
#Dana White
#Francis Ngannou
#heavyweight
#Jon Bones Jones
#Jon Jones
#Jonny Bones
#light heavyweight
#Maur cio Rua
#MMA
#UFC