Lelong kasut emas: Mak, ayah tak sihat, saya lakukan demi keluarga - Khalid Jamlus

Faris Danial Razi
Julai 7, 2020 08:54 MYT
Pada Jumaat, Khalid melelong kasut emas yang dimenanginya selepas menjuarai Liga Perdana pada 2002 dengan harga bidaan RM10,500 menerusi sesi Facebook Live. Foto Facebook Khalid Jamlus
"Tindakan saya tidak menyalahi mana-mana undang-undang kerana saya cuba buat apa yang saya rasa bersesuaian dan sepatutnya saya lakukan, dengan keadaan hidup saya ketika ini."
Demikian luahan bekas bintang bola sepak Perak, Muhamad Khalid Jamlus, yang bertindak melelong beberapa barangan peribadi termasuk kasut emas, jersi dan pingat yang dimenanginya sebelum ini.
Tegasnya, apa yang dilakukan itu adalah berlandaskan situasi kehidupan yang dilaluinya sekarang dan ia tidak salah di sisi undang-undang.
“Secara jujurnya, benda ini berlaku berpunca daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19 ini.
“Sebelum ini, memang saya ada terlibat menjadi duta produk, yang mana, abang ipar saya sendiri banyak membantu.
“Namun, sampai bila saya ingin mengharapkan bantuan orang? Barang-barang itu (yang dilelong) hak milik saya, bukan saya jual barangan orang lain,” katanya ketika ditemu bual Astro ARENA pada Isnin.
Jelas Khalid, 43 tahun, apa yang dilakukannya adalah satu faktor kehidupan, memandangkan beliau tidak mempunyai punca pendapatan dan berasa terdesak dengan situasi yang dilalui ketika ini.
“Apa yang boleh kita jangkakan kalau tiga tahun tidak bekerja? Saya juga ketua keluarga, saya rasa terdesak.
“Saya bukan hanya berdiam diri, saya sudah menyuarakan hasrat saya untuk menjadi jurulatih di Perak, begitu juga di Selangor dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Tetapi, saya tidak nampak peluang itu,” jelasnya lagi dalam keadaan yang sebak.
Ditanya mengenai penerimaan keluarga dalam membuat keputusan melepaskan kesemua barangan yang cukup berharga dan mempunyai 'sentimental value' itu, ini penjelasan beliau.
"Apa yang saya buat ini adalah untuk menampung perbelanjaan saya. Saya masih lagi mempunyai emak dan ayah. Ayah dan emak saya pun tidak sihat.
“Jadi, kepada siapa lagi saya ingin mengadu perkara ini? Apa yang saya lakukan ini adalah untuk masa depan keluarga saya, untuk kelangsungan hidup,” tambah Khalid.
Khalid Jumaat lalu melelong kasut emas yang dimenanginya selepas menjuarai Liga Perdana pada 2002 dengan harga bidaan RM10,500 menerusi sesi Facebook Live yang berjaya menarik lebih 1,000 penonton.
BACA: Lelong kasut emas, kisah Khalid Jamlus dapat perhatian
Bagaimanapun, menurut Khalid, beliau masih belum menyerahkan barangan itu kepada pembida yang berjaya kerana menunggu untuk berjumpa dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
"Saya akan melihat hasrat beliau untuk membantu saya. Saya akan melihat sama ada pertemuan itu akan memberikan sinar baharu buat hidup saya atau pun sebaliknya," katanya.
#barang peribadi #bola sepak #COVID-19 #FAM #Kasut Emas #Khalid Jamlus #koronavirus #lelong #pemain bola sepak #Perak #Persatuan Bola Sepak Malaysia #PKP #sukan
;