Lelaki tertidur semasa perlawanan besbol saman ESPN
Agensi
Julai 8, 2014 15:07 MYT
Julai 8, 2014 15:07 MYT
Seorang peminat besbol yang dirakamkan oleh kamera ESPN tertidur semasa satu perlawanan melibatkan pasukan New York Yankees memfailkan saman terhadap rangkaian televisyen sukan itu.
Akhbar The New York Post melaporkan Andrew Rector memfailkan saman berjumlah AS$10 juta (lebih kurang RM31 juta) terhadap ESPN.
Dia mendakwa telah difitnah oleh pengulas sukan, Dan Shulman dan John Kruk.
"Ini bukan tempatnya datang untuk tidur," kata seorang pengulas sukan itu semasa aksi Rector tertidur ditayangkan di televisyen.
Rector, seorang jurujual kereta terpakai, mengaku beliau tertidur sekejap semasa perlawanan antara Boston Red Sox menentang Yankee pada 13 April lepas.
Dalam samannya, lelaki itu mendakwa dua pengulas sukan itu tidak henti-henti menyerang dirinya secara lisan tanpa sebarang sebab yang munasabah.
Dia juga mendakwa dua pengulas sukan itu telah menghina dirinya dengan membuat beberapa kenyataan yang bukan bersifat laporan sukan.
Antaranya, mereka mengolok-olokkan dia sebagai bukan peminat Yankee yang sebenar dan tidak tahu tentang besbol.
Rector mendakwa reputasinya tercemar serta mengalami tekanan mental dan hilang sumber pendapatan.
Dia menamakan Major League Baseball (MLB) sebagai defendan kedua. MLB memuat naik video rakaman itu di YouTube dengan tajuk "Fan sleeps in stands during game vs. Red Sox".
The New York Post melaporkan ESPN dan Yankees enggan mengulas kes itu manakala wakil MLB tidak memberikan sebarang maklumbalas.