Leicester lonjak ke tangga ketiga
Astro Arena
November 4, 2019 10:19 MYT
November 4, 2019 10:19 MYT
CRYSTAL PALACE 0 LEICESTER CITY 2
Leicester City melonjak kembali ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Crystal Palace 2-0 di Selhurst Park malam tadi.
The Foxes turun ke gelanggang itu dengan rekod 12 jaringan dalam dua perlawanan di tempat lawan terakhir dalam kesemua kejohananan, namun dua gol -- masing-masing satu daripada pertahanan, Caglar Soyuncu, dan penjaring terbanyak Liga Perdana, Jamie Vardy -- sudah cukup untuk memberikan mereka tiga mata.
Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, Soyuncu memberikan Leicester gol pendahuluan pada minit ke-57 selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk menyumbat masuk bola daripada sepakan penjuru James Maddison.
Vardy kemudian mengesahkan kemenangan itu menerusi jaringannya pada dua minit terakhir -- golnya yang ke-10 dalam liga musim ini -- dengan menyudahkan gerakan sepasukan gemilang yang turut melibatkan Youri Tielemans dan Demarai Gray.