Leicester City juara Liga Perdana Inggeris

Astro Awani
Mei 3, 2016 08:55 MYT
Morgan (dua dari kanan) meraikan gol penyamaan dalam perlawanan Leicester menentang Manchester United Ahad lalu. -Foto EPA
LEICESTER City dinobat juara bola sepak Inggeris buat pertama kali dalam sejarah sepanjang 132 tahun penubuhan kelab tersebut selepas pesaing terdekat Tottenham Hotspur hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 berdepan Chelsea pada Isnin.
Kegagalan Spurs menewaskan Chelsea di Stamford Bridge memberikan Leicester kelebihan tujuh mata di puncak liga sekali gus mustahil dipintas kerana Spurs hanya berpeluang mengutip enam mata maksimum dengan dua perlawanan berbaki.
Gol separuh mata pertama oleh pemain England Harry Kane dan pemain Korea Selatan Son Heung-Min menyaksikan Tottenham mendahului 2-0.
Namun pemain pertahanan Chelsea Gary Cahill mengurangkan defisit gol dengan jaringan pada minit ke-58 sebelum Eden Hazard memusnahkan harapan Spurs untuk memenangi kejuaraan pertama liga sejak 1961 dengan rembatan lencong tujuh minit sebelum perlawanan berakhir.
Kejayaan Leicester dilihat luar biasa memandangkan kelab tersebut diramal tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris sebelum musim bermula dan hanya diberi kemungkinan 5000/1 untuk menjuarai liga oleh ejen pertaruhan.
#Chelsea #Leicester City #Leicester juara #Liga Perdana Inggeris #Tottenham Hotspur
;